Presiden UIA: Pengganti Maszlee tunggu persetujuan sultan

Presiden UIA: Pengganti Maszlee tunggu persetujuan sultan

Pejabat menteri berkata presiden baru UIA akan diumumkan selepas menerima persetujuan ketua perlembagaan universiti itu.

PETALING JAYA: Pejabat Menteri Pendidikan memaklumkan calon yang akan menggantikan Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sudah diputuskan.

Dalam kenyataan kepada FMT, pejabat Maszlee berkata penggantian calon itu kini sedang menunggu persetujuan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku ketua perlembagaan UIA.

“Pengumuman akan dibuat sebaik menerima persetujuan Sultan Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, aktivis mahasiswa Asheeq Ali tertanya apakah perkembangan jawatan presiden UIA kini selepas Maszlee mengumumkan dia bersetuju meletakkan jawatan pada 9 November lepas.

Menteri pendidikan dilantik menjadi presiden UIA ke-7 bagi tempoh 3 tahun pada September tahun lepas, menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai.

Pejabat menteri memaklumkan Maszlee menunda pengundurannya sehingga tamat majlis konvokesyen pada November dan proses penggantian akan berlangsung selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.