Pemandu Grab ambil penumpang di lapangan terbang disaman

Pemandu Grab ambil penumpang di lapangan terbang disaman

Berikutan kejadian 1 Jan, pemandu e-hailing elak ambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pemandu Grab pos surat saman di Facebook. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Pemandu Grab dan e-hailing kini sudah tidak lagi mengambil penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berikutan saman yang dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selasa lalu.

Biasanya kawasan itu menjadi tumpuan pemandu Grab dan e-hailing disebabkan permintaan yang tinggi, tetapi tindakan tegas anggota penguatkuasa membuat mereka menjauhkan diri dari kawasan itu.

Seorang pemandu Grab yang enggan dikenali memberitahu sejak JPJ bertindakan menyaman mereka, mereka tidak lagi mengambil pengumpang di kawasan tersebut.

“Sekarang kami menghantar penumpang ke lapangan terbang itu sahaja seperti yang dibenarkan, tidak lagi mengambil penumpang,” katanya.

Katanya, kalau mereka tahu tindakan akan mula diambil terhadap pemandu Grab dan e-hailing di lapangan terbang itu, lebih baik mereka tumpu kepada kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Pemandu Grab berusia 47 tahun yang disaman itu diarah hadir di Mahkamah Magistret April depan.

Kira-kira sebulan lalu sekumpulan pemandu limosin lapangan terbang di Pulau Pinang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di luar kawasan itu dan meminta pihak berkuasa melarang pemandu Grab dan e-hailing mengambil penumpang di lapangan terbang berkenaan.

FMT yang menghubungi pegawai di Kementerian Pengangkutan dan jurucakap JPJ diberitahu kenyataan mengenai tindakan terbaru terhadap pemandu Grab dan e-hailing akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.