
Kerajaan negeri juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kerana ia urusan MAIPs, katanya.
“Justeru saya berharap imam-imam terlibat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan nama baik mereka.
“Saya dengar mereka yang tidak berpuas hati akan mengadakan piket di beberapa buah masjid selepas sembahyang Jumaat esok,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi, hari ini.
Ruzaini minta imam-imam terbabit berfikir banyak kali sebelum melakukan sesuatu tindakan sebagai menghormati Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.
Sebuah lagi institusi berkaitan agama iaitu Jabatan Mufti Perlis juga terletak di bawah MAIPs.
Surat pemecatan dan pertukaran imam-imam terbabit bertarikh 31 Disember lepas ditandatangani oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.
Dr Hazman bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan beliau namun difahamkan pemecatan dan pertukaran mereka ke kariah lain atas beberapa sebab antaranya dikatakan tidak sehaluan dengan pihak tertentu dan faktor usia.
Sebelum itu 16 orang guru takmir dipecat JAIPs Disember lepas kerana didakwa tidak melaksanakan arahan pihak atasan.
Ruzaini difahamkan sebelum tindakan itu diambil semua imam berkenaan diberi taklimat.
“Selaku exco agama Islam negeri, saya akan cuba membantu mana yang boleh agar isu ini diselesaikan dengan baik,” tambahnya.