
Pegawai itu memberitahu FMT pemimpin terbabit kurang ajar, kasar dan terdesak mendapatkan projek, kontrak dan konsesi kerajaan atas alasan untuk meneruskan aktiviti peringkat bahagian.
“Ketua-ketua bahagian ini tiada bezanya dengan ‘warlord’ Umno,” katanya sambil menambah ia adalah “politik wang lagi”.
Pegawai itu berkata, Syed Saddiq bersama beberapa pemimpin PPBM lain cuba melindungi parti daripada ketua bahagian terbabit yang didakwa cuba mencari dana bagi pemilihan parti.
“Kempen sudah bermula. Ketua-ketua bahagian ini merasakan mereka mungkin kalah dalam pemilihan parti, jadi (mereka perlu bertindak) sekarang.”
Beliau mendakwa ketua bahagian itu berkempen menentang sistem “satu undi bagi setiap ahli” kerana tahu mereka akan “disingkirkan”.
“Ketua-ketua bahagian ini hanya mahu wang atas ‘perjuangan’ mereka, ini adalah golongan tamak dari era Umno.”
Katanya, orang ramai akan “terkejut” jika ternampak perbualan individu terbabit dalam kumpulan WhatsApp mereka.
“Ia sedih tapi benar, dan rakyat mungkin terpedaya dengan tingkah laku sebahagian daripada kumpulan kecil ketua bahagian bersuara lantang ini.”
Sementara itu, seorang pemimpin bahagian PPBM di Kuala Lumpur berkata, Bahagian Bandar Tun Razak dan Bukit Bintang menggesa tindakan memboikot ke atas sayap Pemuda parti itu.
“Syed Saddiq perlu faham mengapa orang lama itu mahukan projek. Apabila mereka meninggalkan Umno, banyak pengorbanan dibuat mereka.
“Mereka kehilangan projek, kerja dan wang. Sekarang, mereka perlu keluarkan duit sendiri, malah untuk membeli kerusi di pusat khidmat mereka.”
Beliau mengkritik Syed Saddiq membangkitkan isu itu dalam perhimpunan agung tahunan PPBM kerana ia sepatutnya dilakukan melalui saluran dalaman parti.
Katanya, beliau dan pemimpin lain akan melepaskan jawatan dalam bahagian mereka kerana mereka ialah sebahagian daripada sayap Pemuda.
Syed Saddiq dalam perhimpunan agung tahunan PPBM yang berakhir Ahad lalu, memberi amaran kepada ahli parti mengenai budaya meminta jawatan dan kontrak kerajaan.
Menteri belia dan sukan itu turut menegur beberapa perwakilan yang sering membangkitkan isu itu.