Kumpulan pendidikan: Tak perlu subjek alam sekitar, ibu bapa perlu tunjuk teladan

Kumpulan pendidikan: Tak perlu subjek alam sekitar, ibu bapa perlu tunjuk teladan

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan berkata, pendidikan alam sekitar tidak semestinya dalam bentuk mata pelajaran, sebaliknya lebih kepada amalan harian.

Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sekolah boleh mendidik pelajar melaksanakan konsep 3R untuk mengatasi masalah pencemaran serta alam sekitar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pendidikan berkata, kerajaan tidak perlu memperkenalkan mata pelajaran berkaitan alam sekitar, sebaliknya pihak sekolah dan ibu bapa yang harus menunjukkan teladan kepada generasi muda dalam pemuliharaan alam.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata pendidikan alam sekitar tidak semestinya dalam bentuk mata pelajaran, sebaliknya lebih kepada amalan harian.

Beliau memberi contoh sekolah boleh mendidik pelajar melaksanakan konsep 3R, iaitu mengitar semula, mengurangkan dan guna pakai (Recycle, Reducing dan Reusing) dengan lebih serius untuk mengatasi masalah pencemaran serta alam sekitar.

Katanya, Malaysia juga perlu mengikut jejak negara lain yang kini memfokuskan cara menangani isu berkaitan alam sekitar.

“Negara di seluruh dunia bukan hanya membincangkan pendidikan alam sekitar lagi, tetapi mengambil langkah besar dalam skala besar dalam menangani pencemaran, perubahan iklim, kemampanan, keselamatan makanan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas cadangan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MSN), Prof Maketab Mohamed supaya kerajaan memperkenalkan mata pelajaran alam sekitar di sekolah kebangsaan demi pemuliharaan alam semula jadi dan kelangsungan masa depan.

Azimah berkata, pelajar perlu diberikan ruang dan sokongan untuk menyumbang idea ke arah penjagaan alam sekitar.

“Sumbangan idea haruslah juga datang daripada meraka supaya mereka tahu bagaimana caranya boleh menjaga persekitaran yang mereka diami.”

Pada 12 April lalu, bekas menteri sumber asli dan alam sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, subjek alam sekitar akan diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah mulai tahun ini.

Beliau berkata, subjek itu akan dilaksanakan secara menyeluruh, membabitkan pemuliharaan hutan, sungai, darat, laut, udara, keselamatan alam sekitar dan perubahan iklim.

Katanya, pengenalan subjek itu diluluskan Kabinet di bawah kerajaan terdahulu dalam mesyuarat terakhirnya sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak membuat sebarang pengumuman sama ada subjek itu akan diteruskan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.