Dr M: Jangan hanya aktif dalam parti, main peranan dalam komuniti

Dr M: Jangan hanya aktif dalam parti, main peranan dalam komuniti

Pengerusi PPBM berkata ahli mesti main peranan di tempat masing-masing.

Dr Mahathir Mohamad berkata ahli parti perlu aktif dalam persatuan komuniti masing-masing.
PUTRAJAYA:
Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli supaya tidak hanya bergiat aktif dalam parti politik, tetapi turut memainkan peranan dalam komuniti masyarakat setempat.

Dr Mahathir berkata ahli PPBM perlu bersama persatuan-persatuan yang ditubuhkan untuk masyarakat setempat termasuk badan ibu bapa di sekolah-sekolah.

“Kita mesti main peranan di tempat kita, bukan semata-mata dalam parti tapi apa juga kegiatan di tempat kita,” katanya pada sesi ucapan penggulungan presiden di mesyuarat agung tahunan PPBM hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata perebutan kuasa dalam kalangan orang Melayu sudah melemahkan kaum itu, sehingga mereka terpaksa bergantung kepada kaum lain.

“Kita berjumlah 60% tetapi kita sendiri mengurangkan peratusan itu. Kita berpecah menjadi 3-4 parti yang masing-masing jadi minoriti dan bergantung pada orang lain.

“Ini bukan salah Umno atau PAS, tetapi kerana kesalahan orang Melayu, kerana bila diberi kuasa untuk memperbaiki diri mereka, mereka berebut kuasa dan melemahkan diri mereka,” katanya.

Beliau juga turut menjelaskan bilangan kecil kerusi yang dimenangi PPBM pada pilihan raya umum ke-14.

Dr Mahathir berkata penggunaan lambang PKR apabila Pakatan Harapan gagal didaftarkan sebagai gabungan politik menyebabkan pengundi keliru dan teragak-agak memilih calon mereka.

“Sebab itu kita telah dapat skor yang rendah, bertanding 52 kerusi menang hanya 13 kerusi sahaja,” katanya, dan menambah jumlah kerusi yang ditandingi PPBM lebih banyak berbanding rakan-rakan PH lain.

“Saya sedar kawasan diberi kepada kita bukan kawasan mudah dimenangi. Masa kita setuju dengan angka dan kawasan itu kita belum diharam dan harap PH didaftar,” katanya.

Sementara itu, Dr M memberi amaran PPBM akan berakhir seperti Umno jika ia menyekat pemimpin berkelayakan dari memegang jawatan dalam parti.

Beliau mengulas mengenai isu yang disentuh Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, mengatakan ada cubaan untuk menyingkir pemegang-pemegang jawatan di peringkat bahagian.

“Saya rasa sedih tentang cerita ketua bahagian singkir orang yang dah pegang jawatan dan tak sanggup terima orang baru kerana kemungkinan orang baru ini lebih pandai daripada kita.

“Jika kita tidak benarkan orang lain masuk untuk kita tidak kalah (pemilihan), maka kita akan tinggal seorang diri, menjadi ketua bahagian tetapi tiada ahli,” katanya.

Dr Mahathir juga sukacita dengan perbahasan para perwakilan pada mesyuarat agung tahunan kali ini.

Beliau berkata kebebasan bersuara yang diamalkan PPBM membezakan parti itu dengan Umno, dan berkata ia budaya yang bagus.

“Lihat sebuah parti melarang perbahasan atau sebutan perkara tertentu, akhirnya mereka hancur berkecai. Dalam parti kita hargai teguran, teguran keras pun mesti kita terima kerana teguran keras bermakna kita buat kesalahan terlalu buruk,” katanya.

Beliau menambah teguran harus berniat untuk membangunkan parti dan bukan untuk melepaskan geram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.