Setiap insan yang hidup pasti akan pergi satu hari nanti. Begitu juga dengan beberapa bakat terkenal yang telah banyak menyumbangdalam bidang seni dan hiburan negara.

FMT Ohsem menyenaraikan 10 insan yang meninggalkan kita semua sepanjang 2018.
1. Azmil Mustapha
Lebih dikenali melalui watak Ali sewaktu digandingkan dengan pelakon, Fauziah Ahmad Daud dalam filem Ali Setan keluaran tahun 1985, Azmil menghembuskan nafas terakhir pada 14 Februari 2018 akibat sakit jantung ketika berusia 65 tahun.

Beliau pernah diangkat sebagai Aktor Terbaik sewaktu Festival Filem Malaysia ke-6 pada 1986 menerusi filem Ali Setan.
Graduan dari Universiri Indiana, AS itu bagaimanapun meninggalkan dunia lakonan di awal tahun 1990-an kerana mahu mengutamakan kehidupan berkeluarga selain mendekati diri dengan perjuangan agama.
2. Khalid Salleh
Pelakon dan aktivis teater , Khalid Salleh menghembuskan nafas terakhir dalam usia 70 di Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 23 Julai lalu.

Selain dikenali sebagai pelakon berwibawa, Khalid juga pernah dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi filem Jogho.
Beliau turut menghasilkan 3 buku yang diterbitkan ITBM dengan judul ‘Pandirnya Si Pandir’, ‘Kalau Aku Jadi PM’ dan ‘Kena Main’, manakala buku politiknya ‘Melayu Hilang di Dunia’ diterbitkan sendiri.
3. Datuk Mahadzir Lokman
Bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, pada 3 Ogos 2018.

Beliau memulakan kerjaya di TV3 pada tahun 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama di stesen televisyen itu.
Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi.
Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan beliau sering diundang sebagai pengacara pelbagai acara bertaraf antarabangsa.
Mahadzir pernah dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dato’ Dale, merupakan salah satu ikon besar di dalam industri TV terutamanya TV3.
4. Nizen Ayob
Bintang drama bersiri Gerak Khas, Nizen Ayob, kembali ke rahmatullah pada 6 Ogos 2018 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dipercayai kerana penyakit buah pinggang.

Bakat pelakon berusia 33 tahun dicungkil oleh Datuk Rosyam Noor menerusi program realiti Pilih Kasih musim ketiga yang pernah bersiaran di TV2 pada tahun 2012.
5. Acappan
Dunia hiburan bersedih apabila pelawak terkenal ini meninggal dunia pada 14 September lalu akibat kegagalan buah pinggang.

Acappan yang berasal dari Parit Buntar, Perak merupakan artis berbangsa India yang popular dalam dunia hiburan Melayu pada 1980-an dan dicungkil bakat menerusi rancangan siaran RTM iaitu Santan Berlada.
Sepanjang penglibatan dalam dunia lakonan beliau pernah membintangi filem tempatan antaranya Mira Edora, Sejati, Adik dan Rimba Malam .
6. Pak Ngah
Pejuang lagu irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih mesra di sapa sebagai Pak Ngah, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada 25 September 2018 ketika mengunjungi negara jiran atas urusan kerja.

Beliau antara individu yang pertama menjalinkan kerjasama untuk Siti Nurhaliza dengan menghasilkan lagu-lagu irama tradisional.
Antara lagu popular ciptaan Pak Ngah bersama penyanyi nombor satu negara termasuk “Ya Maulai”, “Balqis”, “Hati Kama” dan “Badarsila”.
7. Saleem
Penyanyi kelahiran Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir pada 14 Oktober lalu ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Saleem atau nama sebenarnya, AM Salim Abdul Majeed adalah bekas vokalis kumpulan Iklim yang popular era 1990-an dengan lagu ‘Suci Dalam debu’.
8. Zaibo
Pelakon veteran dan pelawak, Zaibo mula dikenali selepas membintangi sitcom Spanar Jaya pada tahun 1999.

Dia juga memainkan peranan kecil dalam filem Hollywood, Anna and The King.
Beliau disahkan menghidap kanser esofagos sebelum meninggal dunia pada 14 November lalu.
Sebelum ini Zaibo terkenal kerana wataknya sebagai penjual mi rebus dalam sitcom dari Singapura iaitu Under One Roof.
9. Radzi Melissa
Pemilik nama Mohd. Radzi Abdul Hamid meninggal dunia ketika menjayakan persembahan program Hiburan Santai Seniman anjuran Persatuan Seniman Malaysia dan DBKL.

Beliau yang merupakan individu terakhir menjayakan persembahan dan berada di atas pentas sekitar 10.30 malam untuk menyanyikan lagu pertama berjudul Kami Mat Rock.
Namun selepas beberapa saat di atas pentas, beliau rebah dalam keadaan bersujud dan disahkan meninggal dunia akibat kekurangan oksigen pada 23 Desember 2018.
Ustaz Radzi atau nama sebenarnya Mohd. Radzi Abdul Hamid, 52 tahun merupakan Kumpulan Melissa yang aktif pada tahun 1990-an cukup terkenal dengan lagu Cinta Untuk Nabila.
10. Detektif Wong
Pelakon Ruzlan Shah Abdullah yang memegang watak Detektif Wong dalam drama polis bersiri popular Gerak Khas meninggal dunia pada 22 Disember 2018.

FMT Ohsem mengucapkan takziah kepada keluarga bintang-bintang ini.