
Kementerian dalam kenyataan hari ini berkata, laporan bawah tajuk “Cikgu sekolah tampil mendedahkan RM80 juta dirompak dari Kementerian Pendidikan” itu fitnah melampau yang berniat jahat.
Laporan seumpama itu bertujuan menjejaskan imej dan reputasi Maszlee Malik selaku menteri pendidikan, kementerian serta kerajaan baru, katanya lagi.
“Kementerian tidak pernah dan tidak bercadang untuk membuat sebarang pembelian peralatan tersebut dalam jumlah yang begitu besar dengan harga yang tidak munasabah yang merugikan kerajaan dan wang rakyat terutama sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu,” katanya lagi.
Kementerian berkata guru yang memuat naik hantaran berkenaan di laman sosial Facebook beliau pada 28 Disember juga mengakui kesilapannya. Dalam kenyataannya hari ini, guru berkenaan mengaku tersilap mendakwa hal tidak benar mengenai butiran harga alatan tersebut serta memohon maaf atas kekhilafan beliau.
Jelas kenyataan itu, siasatan dalaman kementerian menunjukkan 2 buah sekolah di Selangor yang baru dibuka pada Mei lalu masing-masing dibekalkan kemudahan seunit alat pembesar suara yang dibeli oleh Jabatan Pendidikan Selangor dengan harga RM1,720 seunit dan bukanlah RM6,000 seunit sebagaimana didakwa.
Pembelian juga telah melalui proses perolehan yang teratur dan mengikut prosedur kewangan, katanya.