
Presidennya, Datuk RS Mohan Shah berkata, pembinaan sesebuah kuil mesti berlandaskan kepada disiplin agama, bukan mengikut kehendak individu.
“Kalau kata ikut mimpi, lepas itu bina kuil, memang tak boleh. Kuil yang sebenar dibina mengikut prinsip dalam beragama,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu sepasang suami isteri yang dilaporkan membina tempat ibadat tanpa kebenaran di belakang bangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam, selepas mendapat petanda daripada mimpi.
Media tempatan melaporkan, perkara itu tular di media sosial sebelum disahkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Bagaimanapun Fahmi mengambil tindakan segera sebelum isu itu menjadi lebih serius.
Satu pertemuan antara wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan pasangan berkenaan diadakan 2 hari lalu.
“Mereka akhirnya akur untuk memindahkan struktur di atas tanah rizab KTM itu,” kata Fahmi.
Mohan berkata, penganut Hindu di negara ini tidak boleh menyamakan amalan pembinaan kuil di sini dengan negara lain.
Mengambil India sebagai contoh, beliau berkata, keadaan kawasan bandar dan luar bandar di negara itu sangat berbeza.
“Di kampung memang banyak kuil binaan sendiri kerana ia dibina untuk majlis atau keraian tertentu.
“Berbeza dengan kawasan bandar, pembinaan kuil di sana lebih banyak dan inklusif, sesuai dengan tempatnya.”
Sementara itu, FMT turut menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor Ihsan Che Mat bagi mendapatkan garis panduan dalam pembinaan rumah ibadat di negara ini.
Katanya, setiap rumah ibadat wajib mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dokumen berkaitan garis panduan membina rumah ibadat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi agama selain Islam menyebut:
“Sekiranya mereka hendak mendirikan rumah ibadat di atas tanah yang mereka miliki boleh dibenarkan dengan syarat tapak tersebut terletak di dalam kawasan majoriti penduduk bukan Islam mengikut keperluan penganut agama mereka.
“Semua permohonan bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam hendaklah dirujuk kepada Majlis Agama Islam negeri bagi mendapatkan pandangan serta apa-apa keputusan mengenainya.”
Mohan turut menjelaskan, pihaknya sudah kerap kali menasihati penganut agama Hindu di negara ini supaya tidak membina rumah ibadat tanpa kebenaran, namun perkara itu tetap berulang.
“Itulah masalahnya, mereka tetap nak bina,” katanya.
Bagaimanapun beliau memberitahu, pihaknya juga kesal dengan pihak berkuasa kerana merobohkan kuil dengan sewenang-wenangnya.
“Jangan runtuh sebarangan. Kalau nak tukar lokasi pun, biar mereka sendiri buat elok-elok cara mereka. Kalau nak buat sebarang penyelesaian, jalankan dengan baik,” jelasnya.