
“Ini ialah serangan mengejut ke atas 2 lelaki kerana hubungan seksual mereka.
“Ini jelas ialah kesalahan jenayah yang serius, jenayah kebencian yang dilakukan sekumpulan lelaki,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas satu klip video selama 1 minit 37 saat yang tersebar di media sosial, di mana sekumpulan individu memarahi dan menyerang 2 lelaki separuh bogel.
Video itu menunjukkan kumpulan individu itu memaksa 2 lelaki terbabit keluar dari kereta dan mula membelasah mereka atas dakwaan “melakukan dosa” dengan berkata: “Dah tak ingat tuhan ke?…Memalukan betullah kau ni.”
Paulsen menggesa pihak berkuasa memandang serius jenayah sedemikian kerana “setiap orang berhak mendapat perlindungan sama di bawah undang-undang”.
Pengarah eksekutif Legal Director of Fortify Rights itu berkata, rakyat perlu menghormati undang-undang dan tidak boleh melakukan keganasan atas apa alasan jua.
Seorang lagi aktivis, Numan Afifi turut bimbang terhadap tindakan kumpulan individu itu.
Katanya, beliau tidak tahu di mana atau bila kejadian itu berlaku, tetapi akan cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya.
“Mangsa mesti ketakutan dengan apa yang berlaku dan mungkin sedang menyembunyikan diri ketika ini.”
Pada 3 September lalu, 2 wanita berusia 32 dan 22 tahun masing-masing disebat 6 kali dan didenda RM3,300 selepas mengaku bersalah melakukan hubungan seks sejenis dalam sebuah kereta di Dungun, pada 8 April lalu.
Lebih 100 orang berada di galeri awam Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.