Haziq akan direman jika perlu, kata polis

Haziq akan direman jika perlu, kata polis

Siasatan kes dijangka selesai hari ini dan Haziq akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam, Haziq, yang dijadual berlepas ke Manila, ditahan balai pelepasan KLIA oleh sepasukan polis dari Bukit Aman bagi membantu siasatan.
KUALA LUMPUR:
Permohonan reman Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, akan dibuat jika perlu kerana siasatan masih berjalan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Beliau berkata, siasatan kes itu dijangka selesai hari ini dan Haziq akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Bagaimanapun ia bergantung pada proses siasatan, sekiranya selesai Haziq akan diberi jamin, tetapi jika siasatan tidak selesai, pasukan saya akan mohon reman.

“Ia akan diaturkan oleh pasukan siasatan bersama majistret nanti jika perlu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, peguam Haziq, Ramesh Sivakumar ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) memaklumkan anak guamnya kini berada di HKL.

Difahamkan, beliau sedang menjalani pemeriksaan oleh doktor.

Semalam, Haziq, 27, yang dijadual berlepas ke Manila, berdasarkan tiket penerbangannya, ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Beliau ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.