
Presidennya, Zubaidah Husin meminta kerajaan memainkan peranan membantu kedua-dua pihak, iaitu pengusaha taska dan ibu bapa mencapai situasi “menang-menang” dengan pemberian bantuan dalam bentuk insentif atau subsidi.
“Bila gaji minimum dinaikkan, maka ramai pengusaha taska terpaksa menaikkan yuran. Kalau secara umumnya tentang kenaikan harga taska ini adalah wajar disebabkan kos operasi yang sangat tinggi.
“Kalau kita lihat pada zaman sekarang, mana ada orang nak kerja gaji RM700 walaupun pengasuh, mana boleh tahan? RM1,100 itupun sebenarnya tidak mencukupi untuk kita beri kepada pengasuh sebab kerja mereka pun lama, dari 8 ke 9 jam.”

Beliau memberitahu FMT, kadar yuran dikenakan taska di Pahang antara RM250 hingga RM500, manakala gaji pengasuh pula antara RM700 hingga RM1,000.
Rabu lalu, media melaporkan yuran taska dijangka meningkat 10% hingga 30% tahun depan disebabkan kos penyelenggaraan dan pelaksanaan gaji minimum.
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah dilaporkan berkata, situasi itu tidak boleh dielakkan kerana gaji minimum RM1,100 membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang perlu ditanggung majikan.
Sementara itu, beberapa ibu bapa bimbang kemungkinan kenaikan yuran taska akan menambah beban kewangan mereka.
Nabihah Abdul, 32, berkata jika yuran dinaikkan sekurang-kurangnya 10%, ia akan memberi kesan ke atas kos sara hidup bulanan keluarganya memandangkan rakyat sudah dibebani kenaikan harga kebanyakan barang keperluan ketika ini.

“Kalau naik, memanglah saya rasa tidak puas hati sebab gaji saya pun tidak naik. Harga barang seperti lampin pakai buang dan susu juga mahal. Kalau setakat naik RM10 saya boleh terima lagi, tapi kalau lebih 10% agak melampau.
“Ini baru anak seorang, lepas ini akan dapat anak ke-2 pada pertengahan tahun depan, jadi kosnya akan jadi 2 kali ganda, malah lebih sebab asuhan bayi lebih mahal,” katanya kepada FMT.
Haliza Mansor yang tinggal di ibu negara dan mempunyai seorang anak turut bimbang kerana gajinya tidak besar dan tiada keluarga terdekat yang boleh menjaga anaknya yang berusia setahun 2 bulan.
“Saya harap perkara ini hanya khabar angin kerana ketika ini juga saya sudah terpaksa membayar RM380 kepada taska,” kata kerani di sebuah syarikat swasta.
Bapa beranak satu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Zul, 28, berkata, beliau boleh menerima kenaikan yuran taska, jika ia setanding perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan pengusaha terbabit.
“Saya tidak kisah harga mahal. Apa yang saya lihat dari aspek kesihatan, pemakanan dan persekitaran di taska itu.
“Jika semua kelengkapan di taska lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengasuh juga bagus, saya boleh pertimbangkan,” katanya.