Kemusnahan hutan bakau lebih besar dari jangkaan, kata NGO

Kemusnahan hutan bakau lebih besar dari jangkaan, kata NGO

Kumpulan alam sekitar berkata tanah yang digondolkan bertukar menjadi tempat pembuangan sampah dan sebuah rumah ibadat juga dibina disitu.

(Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Satu kumpulan alam sekitar berkata hutan bakau di Batu Maung, Pulau Pinang yang baru-baru ini digondolkan secara haram seluas 4 padang bola sepak dan bukan seperti jangkaan awal.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata tanah yang dibersihkan itu sebahagian daripada hutan bakau seluas 20ha bawah jagaan Jabatan Perikanan dan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Shariffa berkata tanah yang dibersihkan itu disewa kepada pihak ketiga melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Beliau tertanya adalah amalan itu dibenarkan kerana hutan bakau berkenaan “bernilai tinggi”.

Shariffa berkata pemeriksaan ke tapak berkenaan mendapati penyewa didakwa membersihkan 4ha hutan bakau walaupun hanya 2ha disewakan.

“Soalnya mengapa JKPTG sewakan tanah itu dan membenarkan hutan bakau yng sensitif dimusnahkan?

“Mengapa Jabatan Perikanan, yang menjaga tanah itu, membenarkan perkara itu berlaku?” soalnya.

Shariffa berkata bahagian yang gondol itu bertukar menjadi tempat pembuangan sampah dan sebuah rumah ibadat juga dibina disitu.

Beliau berkata pihak berkuasa persekutuan mesti bertindak walaupun sudah terlambat untuk pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perintah henti kerja.

Menurut undang-undang alam sekitar, pembersihan hutan bakau perlukan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar, katanya.

Shariffa berkata kerajaan Pulau Pinang merancang untuk mewartakan semua hutan bakau sebagai hutan kekal, dan penyangak yang mencemarnya mesti diheret ke muka pengadilan.

Beliau berkata hutan bakau dunia susut kepada hanya 0.4% daripada hutan seluruh dunia, dan pentadbir tanah mesti bertanggungjawab ke atas sebarang kemusnahan.

“Kami akan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa mereka menyiasat perkara itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.