
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata hukuman sebat sememangnya sudah termaktub dalam Akta Imigresen 1959/63 khususnya kepada pesalah iaitu majikan yang menggaji lebih 6 orang PATI.
Beliau berkata berdasarkan rekod sepanjang 2 tahun ini, daripada lebih 1,400 majikan dihadapkan ke mahkamah hanya 3 pesalah dikenakan hukuman sebat.
“Orang mungkin akan kata kejam untuk menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah berkenaan, namun ia amat perlu sekiranya dilihat dari aspek keselamatan dan kedaulatan negara. Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas program Perhimpunan Setia Berjasa JIM Sabah.
Sementara itu, Mustafar berkata sehingga semalam pihaknya melaksanakan 14,500 operasi di seluruh negara sejak awal tahun ini dan menahan lebih 47,000 PATI.
“Untuk Sabah 1,371 operasi dijalankan sejak awal tahun sehingga semalam dengan tangkapan seramai 4,800 PATI dan 62 majikan yang disyaki menggajikan PATI,” katanya.