Kanak-kanak 5 tahun maut didera bapa, ibu tiri

Kanak-kanak 5 tahun maut didera bapa, ibu tiri

Mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

Doktor mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah trauma tumpul pada abdomen. (Gambar AFP)
JOHOR BAHRU:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, tengah malam semalam dipercayai akibat didera ayah kandung dan ibu tirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd Afzanizam Yahaya berkata pihaknya menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu daripada pihak hospital pada 12.50 tengah malam.

Mangsa dihantar ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

“Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia.

“Doktor menjalankan bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak lelaki tersebut dan punca kematian adalah trauma tumpul pada abdomen,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Mohd Afzanizam berkata susulan itu, pihaknya menahan bapa mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dan ibu tirinya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun dan tidak bekerja, untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek ditahan di rumah mereka di Taman Sentosa pada 11 pagi tadi. Mereka akan direman esok pagi,” katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2218999 atau Pegawai Penyiasat P/Asp Fazly Ishak di talian 017-3090385.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.