Juhar dilantik gabenor Sabah penggal ke-3, selepas had 2 penggal mansuh

Juhar dilantik gabenor Sabah penggal ke-3, selepas had 2 penggal mansuh

DUN Sabah baru-baru ini meluluskan pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Sabah yang dihadkan kepada 2 penggal.

Sultan Nazrin Shah (kanan) berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah selama 4 tahun, bermula 1 Januari ini, di Istana Negara hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah bagi penggal ke-3, bermula 1 Januari ini.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Juhar, 65, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 pada 1 Januari 2011 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah dan seterusnya beliau dilantik menjawat jawatan sama bagi penggal ke-2 pada 1 Januari 2015.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini meluluskan pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Sabah yang selama ini dihadkan kepada 2 penggal.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England pernah menyandang jawatan speaker DUN Sabah sejak 2002 hingga 2010 dan juga timbalan yang dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.