
Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, sekiranya penurunan harga minyak dunia berterusan, harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 dijangka turun mulai 1 Jan 2019.
Beliau bagaimanapun berharap kerajaan akan menetapkan harga siling bagi produk petroleum yang dijual sekiranya harga minyak dunia meningkat.
“Ini kerana jika harga minyak dunia naik, sudah tentu rakyat akan bimbang dan mendatangkan keresahan kepada pengguna.
“Harga RM2.20 ini kita lihat satu harga yang diterima rakyat. Jika lebih harga itu, diharap kerajaan memberi subsidi dan menetapkan harga siling tidak melebihi RM2.20 untuk RON95,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit produk petroleum termasuk RON95 dijangka turun mulai 1 Jan 2019 sekiranya trend penurunan harga minyak dunia berterusan.
Beliau berkata, ini berikutan kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia mengalami penurunan.
Katanya, ini membolehkan pengguna menikmati perubahan harga lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.
Dalam pada itu, Yusof berkata, satu perbincangan antara kerajaan dan pengusaha stesen minyak perlu diadakan bagi membolehkan situasi “menang-menang” antara kedua-dua pihak.
Beliu berkata, sistem penetapan harga secara mingguan akan memberi kerugian kepada penguasa stesen minyak jika harga minyak dunia menurun.
“Kena ada situasi menang-menang. Sebab jika harga minyak dunia naik mereka (pengusaha) untung, jika harga minyak dunia turun mereka rugi.
“Jadi kerajaan perlu bincang dan tetapkan harga berdasarkan pasaran semasa. Kena ada rundingan antara kedua-dua pihak agar tidak timbulkan kerugian,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak akan mengeluarkan kenyataan petang ini selepas mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat mengenai kenyataan Lim semalam.
Presiden Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, beliau kini sedang bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu.
“Kita akan keluarkan kenyataan petang nanti selepas mesyuarat nanti, jam 3 petang nanti,” katanya kepada FMT ringkas.