Kapal dagang karam di Johor, 6 kru selamat, 3 hilang

Kapal dagang karam di Johor, 6 kru selamat, 3 hilang

MV Amanda dilapor terbalik dan karam di perairan Kota Tinggi.

6 daripada 9 anak kapal selamat dan 3 lagi masih dicari selepas MV Amanda karam di perairan Johor. (Gambar Maritim Malaysia)
JOHOR BAHRU:
Enam kru selamat manakala 3 masih hilang apabila sebuah kapal dagang, MV Amanda terbalik dan karam di perairan Kota Tinggi, petang tadi.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC Johor) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengaktifkan operasi carilamat (SAR) sejurus menerima maklumat laporan kejadian yang berlaku pada 2 petang di kedudukan 3.3 batu nautika timur Tanjung Sepang, Kota Tinggi itu.

“Berdasarkan maklumat kapten kapal, MV Amanda telah mengalami kerosakan pada jana kuasa dan menyebabkan wheel kapal tidak dapat berfungsi.

“Kapten kapal telah membuat full astern (undur penuh), namun, kapal tidak dapat berundur kerana ombak terlalu kuat,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Aminuddin berkata ombak menolak kapal tersebut sehingga bertembung dengan kapal lain lalu menyebabkan MV Amanda terbalik dan karam.

Beliau berkata bilangan kru MV Amanda dilaporkan seramai 9 orang iaitu 6 selamat manakala 3 masih hilang.

Menurut Aminuddin, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Pos Maritim Pengerang dekat Kota Tinggi bagi menyelaras usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Katanya sebanyak 3 kapal dan sebuah bot daripada maritim, tentera laut dan polis marin telah berada di lokasi kejadian bagi operasi SAR tersebut.

Sementara itu, Aminuddin dijangka mengadakan sidang media berhubung perkembangan kejadian itu di PHC Pos Maritim Pengerang, 10 pagi esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.