
Sankara Nair berkata terdapat sebab-sebab munasabah untuk mengekstradisi Alex-Luna, pasangan seks Ivana pada hari yang membawa kepada kematiannya, untuk siasatan lanjut dan kemungkinan pendakwaan.
Mahkamah Koroner Kuala Lumpur dijangka mengumumkan sebab-sebab kematian Ivana pada 22 Januari depan.
“Saya bersetuju dengan ahli patologi dari Belanda, Dr Frank van der Goot, bahawa kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni,” katanya, merujuk kepada balkoni salah satu unit di pangsapuri yang diinap Alex-Luna.
“Tanda cengkaman pada lengannya, trauma di bahagian belakang kepalanya, botol yang pecah dan DNA Alex bawah kuku Ivana, mencadangkan terdapat kemungkinan pergelutan atau perkelahian antara Alex, Luna dan Ivana sebelum kematiannya,” kata Sankara dalam hujahnya kepada mahkamah pada Jumaat.
Sankara berkata Alex-Luna tidak boleh mengelak daripada disoal di mahkamah tentang kematian Ivana pada 7 Disember 2017, kerana keterangan-keterangan setakat ini menuding ke arah pasangan itu.
“Dalam keadaan panik, mungkin kerana risau kehadiran narkotik dalam tubuhnya dan demi mengelakkan diri dari menjawab banyak soalan seperti isu seks bertiga dan penggunaan mainan seks, pasangan itu memutuskan untuk membuat kematian Ivana kelihatan seperti bunuh diri, dengan secara fizikal membawanya ke balkoni dan membuang tubuhnya,” katanya.
Sankara berkata keterangan pembantu rumah Alex-Luna, Nur Maisara Makha Abdullah memberi gambaran Luna mahu menghapuskan semua bukti-bukti kejadian di rumah mereka.
Menurut peguam itu, Luna menghubungi Maisara ketika dia di dalam lokap polis pada 7 Disember dan meminta pembantu rumah itu membersihkan rumahnya, termasuk membuang botol cider dan kandungan tong sampah.
“Luna memanggil pembantunya dari balai polis untuk membersihkan unit itu dan berbohong kepada Maisara bahawa terdapat parti malam itu,” katanya.
Ivana dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di balkoni sebuah unit di tingkat 6 sebuah pangsapuri selepas terjatuh dari unit di tingkat 20, yang diinap Alex-Luna.
Sebelum kejadian, Ivana dilapor keluar minum bersama Alex-Luna di ibu negara dan kembali bersama pasangan itu ke kediaman mereka.
Sankara menyorot perhatian kepada pegawai penyiasat yang dikatakan “cuai”, “tidak cekap”, “kucar-kacir”, “disalah urus”, “gagal mematuhi tatacara operasi standard”, dan “tidak bertindak cepat untuk memelihara bahan bukti.”
Peguam itu berkata pegawai penyiasat gagal mengesan kecurigaan dalam keterangan Luna apabila Ivana disoal oleh seorang konstabel mengenai pakaian Ivana.
Menurut Sankara, Luna berkata Ivana mungkin pergi ke satu mesyuarat pada 10.00 pagi hari mayat ditemui, namun ketika ditanya mengenai pakaian, “Luna masuk ke bilik tidur utama dan mengeluarkan pakaian Ivana dari almari pakaian”.
“Perkara ini seharusnya membangkitkan kecurigaan,” katanya, dan membidas pegawai penyiasat kerana memberitahu mahkamah tiada alasan untuk mencurigai tingkah laku Alex-Luna.
Sankara berkata keterangan konstabel berkenaan mendedahkan pasukan forensik hanya dipanggil 8 jam selepas mayat ditemui.
Menurut keterangan seeorang detektif, pasukan forensik mendapati tempat kejadian dalam keadaan basah kerana hujan lebat sehingga hilang kesan tapak kaki.
“Manakala cecair berlendir yang mungkin merupakan cider epal, yang boleh, sekiranya dipelihara dan disampelkan, dapat mendedahkan jika terdapat sebarang dadah yang serupa dengan yang ditemui dalam sistem tubuh Ivana,” katanya.
Sankara berkata konstabel mengesahkan tiada siapa memakai sarung tangan perlindungan ketika barang-barang Ivana dikendalikan pegawai penyiasat dan yang lain.