NGO bukan Islam Sarawak terus dapat peruntukan

NGO bukan Islam Sarawak terus dapat peruntukan

Sarawak menubuhkan Unifor untuk membantu orang bukan Islam membina atau melakukan kerja pembaikan rumah ibadat mereka.

Sarawak adalah negeri yang penduduknya pelbagai agama dan meraikan sesuatu perayaan bersama kerana ia menjadi amalan sekian lama. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Komitmen kerajaan Sarawak untuk memupuk keharmonian dan pemahaman agama bukan hanya sekadar dalam bentuk lisan tetapi juga dalam tindakan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) untuk membantu orang bukan Islam untuk membina atau melakukan kerja pembaikan rumah ibadat mereka.

“Tahun ini RM20 juta diperuntukkan kepada Unifor dan saya percaya ramai yang mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang anda tidak temui di negeri-negeri lain. Tahun depan jumlah peruntukan adalah RM30 juta dan saya memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menyediakan dana ini jadi lebih ramai akan mendapat faedah pada masa depan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu, hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak adalah negeri yang penduduknya daripada agama berlainan akan turut meraikan sesuatu perayaan itu, kerana ia telah lama menjadi amalan.

“Kita dapat hidup bersama-sama dan antara kita tiada tembok pemisah dalam beragama kerana kita percaya ‘agama anda adalah agama anda dan agama saya adalah agama saya’. Begitulah cara kami di Sarawak selama 100 tahun yang lalu dan akan kekal sedemikian pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membiayai sendiri pelaksanaan beberapa projek jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air di seluruh Sarawak.

Beliau berkata kebanyakan projek ini akan ditender secara terbuka mulai pertengahan pertama tahun depan dan dilaksanakan selepas ditentukan kontraktor yang berjaya.

“Saya telah mengumumkan Bajet 2019 yang terbesar dalam sejarah Sarawak berjumlah RM10.4 bilion dan negeri ini mampu menyediakan peruntukan yang besar kerana kita mengenakan cukai ke atas petroleum dan produk yang berasaskan petroleum dan gas untuk eksport.

“Cukai baru ini membolehkan Sarawak menyediakan belanjawan yang besar tanpa menggunakan rizab negeri sedia ada. Rizab ini tidak akan disentuh tetapi akan terus diperkukuhkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.