Bekas ahli Umno tidak kukuhkan Malaysia Baru jika disabotaj komponen PH, kata Mujahid

Bekas ahli Umno tidak kukuhkan Malaysia Baru jika disabotaj komponen PH, kata Mujahid

Malaysia Baru adalah lebih besar daripada parti komponen, mahupun PH sendiri.

Mujahid berkata, parti komponen dalam PH tidak perlu panik dengan kebanjiran bekas pemimpin pembangkang, sebaliknya menerima mereka dengan hati terbuka.
KUALA LUMPUR:
Kebanjiran bekas anggota dan pemimpin Umno ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan membawa kepada pengukuhan Malaysia Baru jika ideanya terbantut dan disabotaj rakan komponen sendiri, kata Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Justeru katanya, Malaysia Baru perlu dipertahankan dengan desakan idea dan gagasan yang baru kerana ia menjadi kayu pengukur kepada pelebaran kuasa PH, termasuk kebanjiran daripada parti pembangkang membabitkan Umno, MCA atau MIC sekalipun.

“Sepatutnya kita bertanya apakah kebanjiran ini memperkukuhkan idea Malaysia Baru atau tidak? Malaysia Baru adalah lebih besar daripada parti komponen, mahupun PH sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, parti komponen dalam PH tidak perlu panik kebanjiran bekas pemimpin pembangkang, sebaliknya menerima mereka dengan hati terbuka.

“Hari ini, PH diuji dengan kebanjiran bekas pemimpin Umno menganggotai salah satu parti komponennya. Mengapa panik? Bukankah keterbukaan menerimanya adalah tertakluk kepada ide gagasan dan politk baru?

“Atau apakah kita hilang kepercayaan kepada rakan komponen kita? Mungkin kita tidak jelas apakah penghijrahan ini memperkukuhkan parti komponen atau PH?,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, PH tidak mampu menyekat mana-mana komponen parti berkembang, tetapi kepimpinan mempunyai segala hak untuk meletakkan gagasan Malaysia Baru sebagai penentu kepada mana-mana elemen baru yang masuk pasca pilihan raya umum ke-14.

“Malaysia Baru lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri. Ini termasuk perasaan kita kepada dinamika di sekeliling dengan landskap baru. Kita terpaksa ‘telan’ semua perasaan dengan matlamat yang jelas untuk mempertahankan idea Malaysia Baru,” katanya.

Mujahid turut menasihatkan semua parti komponen agar menjauhi sama sekali perbalahan dalaman ketika membawa idea dan gagasan Malaysia Baru kerana wujud penentang yang mahu pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.