Program Food Bank Malaysia tangani isu kos sara hidup, pembaziran makanan, kata PM

Program Food Bank Malaysia tangani isu kos sara hidup, pembaziran makanan, kata PM

Program Food Bank Malaysia adalah antara usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan.

Dr Mahathir berkata, inisiatif Food Bank Malaysia adalah usaha sukarela yang tidak memerlukan implikasi kewangan besar daripada kerajaan.
GEORGE TOWN:
Kerajaan yakin pelancaran program Food Bank Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mampu meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, program Food Bank Malaysia ini adalah antara usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan rakyat.

“Pelaksanaan program Food Bank Malaysia yang diterajui KPDNHEP ini sangat bertepatan dengan fokus kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama sekali golongan kurang berkemampuan atau kumpulan B40.

“Golongan ini perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi membolehkan mereka mendapat akses bekalan makanan kerana ia sedikit-sebanyak dapat menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas pembelian makanan dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan boleh guna golongan tersebut untuk digunakan bagi perkara penting lain, seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya dalam ucapan perasmian program Food Bank Malaysia peringkat Kebangsaan di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata, inisiatif itu merupakan satu usaha sukarela yang tidak memerlukan implikasi kewangan yang besar daripada kerajaan.

“Inisiatif ini boleh dilaksanakan melalui komitmen tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan yang tinggi daripada pihak swasta serta badan bukan kerajaan untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani isu pembaziran makanan dan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, isu lebihan makanan bukan perkara yang asing bagi Malaysia. Rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 15,000 tan lebihan makanan setiap hari, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,000 tan adalah lebihan makanan yang masih elok dan selamat dimakan.

“Sekiranya 3,000 tan makanan itu dapat diagihkan dengan optimum, maka kuantiti itu boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada hampir 2 juta orang rakyat Malaysia. Makanan lebihan walaupun nampak remeh, tetapi mempunyai impak besar kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa melalui program Food Bank Malaysia ini, lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan sasar dan rumah kebajikan berdaftar.

“Saya juga dimaklumkan, program Food Bank Malaysia ini akan mensasarkan seramai 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul,” katanya.

Bagi memastikan pengurusan lebihan makanan dan pelaksanaan program Food Bank Malaysia lebih sistematik dan teratur, Dr Mahathir berkata, kerajaan bersetuju untuk melancarkan sebuah yayasan yang akan dikenali sebagai Yayasan Food Bank Malaysia.

“Yayasan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan mengurangkan pembaziran makanan di samping menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat. Ia akan diterajui oleh pemegang amanah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan komited dalam menjayakan agenda kerajaan ini,” katanya.

Beliau juga berharap dengan lengkapnya semua mekanisme operasi pelaksanaannya, program Food Bank Malaysia dapat digerakkan dengan jayanya bagi membantu semua golongan yang memerlukan, bukan sahaja di Semenanjung bahkan juga di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk sekali lagi mempelawa semua pihak, terutama badan korporat, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), mahupun individu untuk bersama-sama menjayakan program Food Bank Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.