Nurul Izzah tidak perlukan jawatan untuk perjuangkan PKR, kata Tian Chua

Nurul Izzah tidak perlukan jawatan untuk perjuangkan PKR, kata Tian Chua

Nurul Izzah tidak pernah meninggalkan parti dan masih terus menyumbang dalam kapasiti peribadinya.

Tian Chua berkata, semua orang dalam PKR boleh memainkan peranan mereka menurut cara masing-masing.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar idak perlu memegang jawatan dalam PKR untuk membantu perjuangan parti, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Beliau berkata, walaupun mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden, Nurul Izzah tidak pernah meninggalkan parti dan masih terus menyumbang dalam kapasiti peribadinya.

“Terdapat banyak cara untuk menyumbang kepada parti. Semua orang dalam PKR boleh memainkan peranan mereka menurut cara masing-masing.

“Selagi anda berada dalam parti, anda memiliki ruang untuk menyumbang ke arah pembinaan dan kepimpinan parti,” katanya di pinggir satu forum anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Bersih 2.0 bertajuk “Reformasi Sistem Pilihan Raya dan Pengukuhan Demokrasi”.

Chua memberi komen berhubung peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai naib presiden PKR dan keputusan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR negeri Pulau Pinang susulan kritikan tentang amalan kronisme dalam pemilihan pengerusi negeri.

Selain Nurul Izzah, Hassan Karim juga menolak jawatan sebagai pengerusi PKR Johor, beberapa jam selepas pengumuman Nurul Izzah.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu juga menolak desas-desus berkaitan Nurul Izzah, yang baru-baru ini dilihat makan tengah hari dengan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Rembau dari Umno, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perkara itu tidak harus dilihat sebagai satu isu di sebuah negara bebas seperti Malaysia dengan semua orang bebas untuk berjumpa dengan sesiapa yang mereka ingini di mana-mana juga.

Chua berkata, laporan media bahawa mereka bertiga merancang untuk menubuhkan satu gerakan politik baru adalah spekulasi semata-mata.

“Saya fikir kita tidak harus cuba menafsirkan semua tindak-tanduk ahli politik.

“Kita hidup dalam masyarakat bebas. Semua orang berhak membuat pertimbangan masing-masing dan kita perlu menerima hakikat itu,” kata beliau.

Kebelakangan ini, 3 pemimpin politik itu turut mengongsi foto mereka bersama di media sosial.

Foto terbaru dikongsi oleh Khairy pada 18 Dis yang menunjukkan mereka bertiga minum-minum di Alexis Bistro di pusat membeli belah Bangsar tidak lama selepas Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam parti.

Foto berkenaan dikongsi di aplikasi Instastory milik Khairy dengan kapsyen: “That’s how filters work @rafiziramli”.

Perbezaan pandangan

Terdahulu semasa forum tersebut, Chua berkata, cabaran dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam agenda pembaharuan mereka bukan lagi terhad kepada menjamin kebebasan bersuara.

Katanya, rakyat hari ini sudah terbiasa untuk menerima perbezaan pandangan.

“Dua minggu lepas, kita ada perhimpunan anti-ICERD. Pada masa sama, kumpulan lain menggesa kerajaan supaya mengharamkan perhimpunan itu bagi menghindari ketegangan kaum,” katanya, merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

“Isu di sini ialah tekanan daripada satu kumpulan bagi menghalang kumpulan lain daripada menyuarakan kebimbangan mereka.”

Beliau berkata, tugas agenda pembaharuan ialah bagaimana mahu mendidik masyarakat supaya lebih bertolak-ansur dan tidak terlalu sensitif apabila wujudnya perbezaan pandangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.