
Ringgit berada pada paras RM2.936 berbanding S$1 pada April, tetapi jatuh kepada RM3.0525 semalam.
Akhbar itu memetik seorang penganalisis di Fitch Solutions yang menyebut bahawa kejatuhan ringgit disebabkan harga minyak yang lemah sejak Oktober dan pengukuhan dolar Singapura.
Beliau juga mengemukakan keadaan politik di Malaysia sebagai salah satu sebab kemerosotan nilai ringgit.
“Ringgit akan terus lemah susulan ketidaktentuan politik dan polisi di Malaysia akibat tindak-tanduk kerajaan Pakatan Harapan,” ST memetik Chua Han Teng, ketua Risiko Negara Asia di Fitch.
Seorang penganalisis lain berkata, pengukuhan dolar Singapura adalah baik bagi republik itu berikutan kekurangan bekalan bahan makanan dari Malaysia.
Malaysia, yang mengeksport barangan makanan ke Singapura, kini menimbangkan pengharaman sementara eksport telur ayam bagi mengatasi kekurangan dalam pasaran domestik yang menyebabkan peningkatan harga bahan itu.
Ringgit yang lebih lemah juga berlaku pada musim rakyat Singapura berpusu-pusu ke Malaysia untuk cuti hujung tahun mereka, dan ini meningkatkan perniagaan pengurup wang di republik tersebut.