Datuk, pelakon wanita antara 19 individu ditahan terlibat pesta liar

Datuk, pelakon wanita antara 19 individu ditahan terlibat pesta liar

Polis sedang menyiasat sama ada individu bergelar 'Datuk' itu merupakan pengedar dadah atau sekadar penganjur pesta liar seperti yang didakwa.

19 individu ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di kondominium mewah di Bukit Ceylon, Rabu lepas. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti peranan seorang individu bergelar Datuk yang merupakan antara 19 individu ditahan dalam satu serbuan aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon, awal pagi Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Rudy Abdullah berkata polis sedang menyiasat sama ada individu berkenaan merupakan pengedar dadah atau sekadar penganjur pesta berkenaan seperti yang didakwa.

“Mengenai penganjuran parti liar itu, kita perlu siasat sebelum membuat sebarang rumusan kerana terdapat ramai individu yang terbabit ketika itu yang perlu disoal siasat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Rabu lepas, media tempatan melaporkan, 19 individu ditahan termasuk seorang pelakon wanita berusia 40-an dan seorang individu bergelar Datuk ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di sebuah kondominium mewah di Bukit Ceylon.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, pada jam 12.30 tengah malam itu, mendapati terdapat 11 lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an berada dalam salah satu unit kediaman di tingkat 8.

Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati 11 daripada mereka positif dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.