Azmin sertai PPBM ‘tuduhan jahat’, kata Wanita PKR

Azmin sertai PPBM ‘tuduhan jahat’, kata Wanita PKR

Haniza Talha berkata khabar angin yang tular media sosial untuk memecah belahkan parti.

PETALING JAYA: Wanita PKR menepis khabar angin mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan keluar parti untuk menyertai PPBM.

Ketua Wanita Haniza Talha berkata khabar angin yang sedang tular di media sosial itu “tidak masuk akal” dan “tuduhan jahat” untuk memecah belahkan parti.

“Selain itu, ia turut mempunyai motif jelik bertujuan untuk memburukkan imej Azmin sebagai timbalan presiden,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas cerita tular di media sosial mengatakan Azmin, yang dilantik sebagai menteri hal ehwal ekonomi dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama 20 lagi Ahli Parlimen yang menyokongnya mahu menyertai PPBM.

Haniza berkata kesetiaan Azmin kepada perjuangan PKR terbukti sejak 1998 dan menjadi inspirasi kepada ahli parti lain.

Azmin menjadi timbalan presiden PKR pada pemilihan baru-baru ini selepas mengharungi persaingan sengit dicabar Rafizi Ramli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.