Putrajaya umum RM77 juta lunas tunggakan peneroka Felda

Putrajaya umum RM77 juta lunas tunggakan peneroka Felda

Peruntukan bagi membantu peneroka melunaskan bayaran kerja-kerja operasi pembangunan ladang, khairat kematian, dan sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mengumumkan peruntukan khas RM77 juta bagi membantu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata RM77 juta itu disediakan bagi membantu peneroka melunaskan bayaran kerja-kerja operasi pembangunan ladang mereka, bayaran khairat kematian, dan bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula.

“Kementerian Kewangan mengambil perhatian serius ke atas masalah aliran tunai FELDA yang sangat kritikal pada 2018. Masalah ini mendapat keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan bantuan diberikan,” kata Lim.

Beliau menghuraikan RM43 juta untuk melunaskan bayaran kepada Felda Technoplant Sdn Bhd bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka, RM1.2 juta untuk bayaran khairat kematian melibatkan waris kepada 120 peneroka, dan RM32.8 juta untuk bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil tanam semula 38,000 peneroka.

“Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan 2018 sebanyak RM77 juta kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Felda,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Felda menanggung hutang RM8 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.