
Ketua pegawai eksekutif Ideas, Ali Salman menyifatkan pakatan itu sebagai satu perjanjian berkualiti tinggi yang bakal memanfaatkan Malaysia kerana dari segi sejarah, pertumbuhan negara sebahagian besarnya adalah didorong oleh keterbukaan perdagangan berbanding pembangunanan infrastruktur.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebahagian besarnya adalah didorong oleh dasar perdagangan terbuka,” katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Dasar Ekonomi Malaysia di bawah Kerajaan Baru’ dalam program Taklimat Dasar dan Pengumpulan Rangkaian anjuran kedutaan Norway di sini, baru-baru ini.
Dianggap sebagai alat bagi integrasi ekonomi serantau, CPTPP dinamakan semula daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menarik diri pada Januari 2017.
Perjanjian itu akan berkuat kuasa pada akhir tahun ini apabila 7 negara anggota iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura dan Vietnam meratifikasikannya.
Ketika ini, hanya Brunei, Chile, Peru dan Malaysia tidak meratifikasi perjanjian itu.
CPTPP adalah satu perjanjian perdagangan dalam kalangan 11 negara yang mempunyai potensi akses ke rantau memiliki lebih 500 juta pengguna dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$10 trilion (AS$1 = RM4.18).
Ali berkata, Malaysia telah menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan bekalan global, sebahagian daripada perjanjian perdagangan antarabangsa selain anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) sejak 1 Jan 1995.
“Ini menjadikan firma Malaysia sebahagian daripada sistem pengeluaran global,” katanya.
“Bukan hanya kerana alasan ini, tetapi juga kerana CPTPP menghendaki kerajaan Malaysia menjadi lebih terbuka, lebih telus dan lebih kompetitif serta mempunyai tekanan lebih positif ke atas sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata beliau.
Ali berkata, adalah penting untuk Malaysia meratifikasi CPTPP memandangkan pakatan itu bukan hanya mengenai perjanjian perdagangan, tetapi juga berkaitan peraturan ekonomi dan tadbir urus yang baik.
“Kami percaya ia memberi manfaat kepada Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian ini. Terdapat kebimbangan seperti kedaulatan negara, tetapi saya fikir semua kebimbangan ini tidak sahih, dan bentuk terkini CPTPP memberikan jaminan yang munasabah kepada kerajaan nasional untuk melindungi kepentingan mereka sendiri,” katanya.
Mengulas isu fahaman perlindungan, Ali berkata, firma swasta telahpun mengamalkan dasar terbuka kepada persaingan dan tidak dilindungi.
Bagaimanapun, sebaliknya GLC dan anak syarikat mereka adalah tertakluk kepada perlindungan, kata beliau.
“Kami merasakan jika kita mengamalkan dasar terbuka, contohnya dalam perkhidmatan, kita mungkin tidak dapat mengekalkan monopoli. Malaysia merupakan sebuah negara di mana kos internetnya adalah tinggi dengan kualiti paling teruk.
“Ini adalah monopoli. Jadi, kita tidak mampu memberikan yang terbaik disebabkan fahaman perlindungan meskipun memiliki struktur tadbir urus korporat yang agak baik,” katanya.
Ali berkata, kerajaan baru Malaysia komited untuk mengurangkan pemilikan ekuiti kerajaan.
Beliau berkata 100 GLC terkemuka di negara ini memiliki lebih 68,000 anak syarikat.
Katanya, bagi meningkatkan pendapatan negara, terdapat keperluan untuk mewujudkan ruang kepada sektor swasta dan pengagihan semula aset yang diperlukan kerajaan dengan lebih berkesan bagi meneruskan sesuatu program dalam usaha mengurangkan jumlah GLC.
Ali berkata, perkara ini mungkin boleh dilakukan secara konsisten dengan objektif sosial yang dinyatakan.
“Kerajaan perlu meneruskan sesuatu program pembaharuan seperti mengenal pasti GLC dengan fungsi yang sah dan memperbaiki tadbir urus, selain meneroka pilihan untuk penswastaan yang bertanggungjawab, termasuk perusahaan sosial dan pengambilalihan oleh pekerja menerusi pembelian saham syarikat,” katanya.