
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyeru semua penyokong dan ahli parti, sama ada di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri bersama-sama mendukung dan membantu Mohamad dalam menjalankan amanahnya.
“Ini adalah permulaan kepada usaha mereformasi parti kita. Setelah lebih 6 bulan menempuhi kekalahan dan pelbagai rintangan, diharapkan agenda islah parti akan terus subur di bawah kepimpinan baru ini.
“Saya juga menyeru kepada orang Melayu umumnya, untuk bersatu dan terus memberi bantuan, pandangan dan kritikan membina bagi kelangsungan parti serta agenda memajukan bangsa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Zahid mengumumkan dia menyerahkan tugas presiden Umno kepada Timbalannya, Mohamad ditengah-tengah desakan dalam partinya yang mahu beliau meletak jawatan.
Zahid memulakan kenyataan medianya dengan berkata “Umno wajib diselamatkan dari rebah” dan menambah parti Melayu itu boleh bangkit semula jika ahli bersatu padu.
Perkembangan ini menyusuli desakan daripada beberapa pihak dalam parti yang mahu beliau berundur selepas beberapa pemimpin negeri dan wakil-wakil rakyat meninggalkan Umno.
Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis mengucapkan terima kasih kepada Zahid atas peletakan jawatannya dan menyerahkan tugas presiden itu.
Beliau berkata segala jasa baik dan budi Zahid akan dikenang.
“Terima kasih yang mendalam juga atas khidmat bakti yang dicurahkan dan pengorbanan tanpa lelah serta ikhlas kepada Umno.
“Semoga segala yang demikian diperkirakan sebagai amal soleh hendaknya.”