Najib tak berhasrat jadi ketua umum Umno

Najib tak berhasrat jadi ketua umum Umno

Najib Razak berkata dia menolak hasrat Lokman Adam kerana mahu tumpu membersihkan namanya di mahkamah.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menolak permintaan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, yang mahu beliau menjadi “ketua umum” selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada tugas-tugas presiden.

Bekas presiden itu berkata dia perlu menolak hasrat Lokman dan ahli-ahli Umno lain kerana sedang tumpu membersihkan namanya di mahkamah.

“Sejak minggu lalu juga, ramai pemimpin dan ahli meminta saya untuk mengambil kembali kepimpiman Umno ataupun menjadi ketua umum parti.

“Saya ucapkan terima kasih atas kepercayaan namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti.

“Seperti yang saya telah jelaskan sebelum ini, keutamaan saya masa ini adalah untuk membersihkan nama saya di dalam dakwaan-dakwaan undang-undang yang sedang saya hadapi,” katanya dalam kenyataan.

Lokman dalam kenyataan hari ini mencadangkan Najib diberi peranan “ketua umum” dan ketua pembangkang selepas Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya semalam.

Beliau berkata pelantikan bagi memastikan kestabilan Umno, kerana parti perlukan khidmat seorang pemimpin berpengalaman dan dihormati wakil-wakil rakyat yang belum keluar parti.

“Memandangkan lebih daripada separuh ahli Umno yang mengundi Zahid sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang sekalipun tidak pernah mempertahankan presiden ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti,” katanya.

Peranan ketua umum diperkenalkan PKR untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sebelum ini undang-undang tidak membolehkan dia memegang jawatan presiden.

Sementara itu, Najib berkata dia sedia memberi sokongan dan pertolongan kepada Mohamad dan barisan pimpinan Umno sekarang.

“Saya juga yakin dengan Tok Mat Hassan yang akan menyandang tugas-tugas presiden parti.

“Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula Umno,” katanya lagi.

Beliau juga memuji tindakan Zahid, menganggapnya tindakan yang mulia kerana mengatasi kepentingan peribadi.

“Sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, ini ialah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.