Denda sehingga lebih RM7,000 jika guna beg plastik

Denda sehingga lebih RM7,000 jika guna beg plastik

Gabenor Jakarta akan meluluskan draf itu akhir bulan ini dan peraturan tersebut akan berkuatkuasa mulai Januari.

14% daripada 7,250 tan sampah yang dihasilkan setiap hari di Jakarta adalah plastik. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Jakarta sedang merangka peraturan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik dengan mengenakan denda sehingga Rp 25 juta (RM7,300) kepada sektor perniagaan.

Ketua Agensi Persekitaran Jakarta, Isnawa Adji dipetik sebagai berkata gabenor Jakarta akan meluluskan draf itu akhir bulan ini dan peraturan tersebut akan berkuatkuasa mulai Januari ini.

“Rancangan kami adalah, dalam 6 bulan pertama selepas peraturan itu diluluskan, kami akan mendidik dan mengadakan kempen kesedaran kepada peruncit, pasar tradisional, sekolah dan lain-lain tempat bagi melarang penggunaan beg plastik,” katanya memetik laporan The Jakarta Post.

Sebaik sahaja peraturan itu berkuatkuasa sepenuhnya, denda akan dikenakan antara Rp 5 juta hingga Rp 25 juta kepada pengeluar beg plastik, peruncit dan peniaga di pasar tradisional yang masih menyediakan beg plastik.

Menurut data agensi itu, daripada 7,250 tan sampah yang dihasilkan setiap hari di Jakarta, 14% adalah plastik dan 1% adalah plastik yang tidak boleh lupus.

“Kami mahu menggalakkan penggunaan beg mesra alam kepada peruncit dan pasar tradisional. Kami, bersama pengendali pasar milik bandar PD Pasar Jaya, menggalakkan 153 pasar tradisional mengharamkan penggunaan beg plastik. Kami mula menukar beg plastik mereka dengan beg hijau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.