
Lim Wei Jit berkata perintah mahkamah itu adalah sah dan mesti dihormati jika penggantungan keputusan tidak diperoleh.
“Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi bukan penggantungan automatik,” katanya.
Lim berkata speaker DUN Negeri Sembilan perlu selesaikan perkara itu.
“Mohamad akan dilihat sebagai ‘orang luar’ di dalam Dewan kecuali dia mendapatkan penggantungan untuk terus mewakili rakyat kawasannya,” katanya mengulas penyertaan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dalam sidang DUN yang sedang berjalan.
Pada 16 November lepas, Hakim Azimah Omar membenarkan petisyen calon PKR, Dr Streram Sinnasamy meminta pilihan raya baharu diadakan, selepas membatalkan kemenangan Mohamad.
Sementara itu, Mohamad Haniff Khatri Abdulla, peguam yang tampil bagi pihak Streram berkata, dia tidak sedar akan sebarang perintah penggantungan yang diperoleh Mohamad.
“Sebarang permohonan juga tidak diberikan kepada kami. Kami akan periksa dengan peguamnya,” tambah beliau.
FMT sudah menghubungi Mohamed Hafarizam Harun, peguam mewakili Mohamad, untuk mendapatkan respon.
Mohamad adalah ketua pembangkang negeri selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan Negeri Sembilan, selepas memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN.
Sementara itu, Exco Nicole Tan Lee Koon dalam pesanan teks berkata Mohamad turut berucap mengenai belanjawan negeri hari ini selaku ketua pembangkang.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Februari depan untuk mendengar rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Mohamad untuk mengetepikan perintah Mahkamah Pilihan Raya yang memerintahkan pilihan raya baru diadakan bagi kerusi Rantau.