Menteri: Keluasan tapak pembangunan Taman Rimba Kiara dikurangkan separuh

Menteri: Keluasan tapak pembangunan Taman Rimba Kiara dikurangkan separuh

Khalid Samad berkata, pihaknya mencadangkan keluasan projek pembangunan di Taman Rimba Kiara dikurangkan daripada 12 ekar kepada 7 ekar.

Khalid Samad (dua dari kiri, duduk) bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok (dua dari kanan) bercakap dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 Biodiesel Bagi Kenderaan DBKL, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata pihaknya mencadangkan projek pembangunan di tapak seluas 12 ekar di Taman Rimba Kiara dikurangkan hampir separuh kepada 7 ekar.

“Tapak sedia ada yang ada rumah panjang itu, tapak itulah yang digunakan untuk pembinaan kondominium-kondominium mewah yang dibina untuk subsidi pembinaan rumah mampu milik untuk penghuni rumah panjang.

“Ketinggian kondominium itu pun telah dikurangkan untuk mengurangkan kesesakan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 Biodiesel Bagi Kenderaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Pada 2014, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang ketika itu di bawah pengawasan kerajaan Barisan Nasional, mengadakan usaha sama dengan Memang Perkasa Sdn Bhd, anak syarikat Malton Bhd untuk memajukan projek pembangunan bercampur di atas lot seluas 12 ekar daripada 25 ekar tanah Taman Rimba Kiara.

Projek mega itu membabitkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat (1,800 unit) dengan nilai pembangunan kasar sekurang-kurangnya RM3 bilion.

Pada 13 Julai 2017, DBKL mengeluarkan perintah pembangunan untuk projek itu, tetapi dibantah penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Komuniti TTDI berkempen untuk menyelamatkan Taman Rimba Kiara daripada dibangunkan dan membantah Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang digazetkan baru-baru ini yang menunjukkan taman itu dizonkan semula untuk kemungkinan pembangunan akan datang.

Khalid berharap cadangan itu akan diterima semua pihak untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Apa yang telah saya mohon supaya pihak penduduk di TTDI, mereka terimalah hakikat arahan pembangunan telah dikeluarkan, mahkamah dah pun kata ianya merupakan arahan pembangunan sah dan mengikut undang-undang.

“Maka, kita cuba cari penyelesaian di mana kita kurangkan impak negatif kepada penduduk TTDI dan kawasan berhampiran.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.