6 bulan tidak cukup didik masyarakat larangan merokok, kata persatuan

6 bulan tidak cukup didik masyarakat larangan merokok, kata persatuan

Patut beri mereka 1 tahun sebelum undang-undang dikuatkuasakan.

Gambar Bernama
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan mewakili pengusaha kedai kopi di seluruh negara meminta tempoh lebih panjang untuk mendidik masyarakat tentang larangan merokok di tempat makan yang akan berkuatkuasa awal bulan depan.

Pengerusi Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong berkata, pihak berkuasa memerlukan lebih dari 6 bulan untuk mengubah tabiat perokok.

“Tempoh (6 bulan) yang diberi terlalu singkat,” katanya, merujuk kepada pengumuman Kementerian Kesihatan semalam bahawa tempoh 6 bulan pertama larangan merokok akan digunakan untuk mendidik masyarakat mengenai undang-undang berkenaan.

“Sekiranya kementerian tersebut betul-betul serius tentang hasrat mengurangkan bilangan perokok, ia perlu beri tempoh lebih panjang.

“Berikan mereka tempoh 1 tahun. Bukan mudah mendidik masyarakat kerana mereka sudah biasa dengan budaya ini selama 20 ke 30 tahun,” beliau memberitahu FMT.

Katanya, ramai yang akan kena denda sekiranya mereka hanya diberi tempoh 6 bulan.

Ho berkata, kebanyakan kedai kopi di bawah persatuan itu bersedia mempamerkan papan tanda untuk mengingatkan pelanggan-pelanggan mengenai larangan merokok di kawasan yang ditetapkan, tetapi terpulang kepada mereka mahu mematuhinya atau tidak.

Beliau mencadangkan kementerian membekalkan papan-papan tanda dan tidak meletakkan seluruh tanggungjawab ke atas bahu pengusaha kedai kopi.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim, Ayub Khan, bagaimanapun, memberitahu FMT beliau percaya tempoh 6 bulan sudah memadai untuk mendidik masyarakat mengenai undang-undang larangan merokok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.