Bunuh tentera Israel, remaja Palestin dipenjara 35 tahun

Bunuh tentera Israel, remaja Palestin dipenjara 35 tahun

Remaja terbabit menyerang seorang tentera Israel yang berada di luar tugas, di sebuah pasar raya di Tebing Barat pada 18 Februari 2016.

Gambar kenangan Tuvia Yanai Weissman bersama isteri dan anaknya. (Sumber gambar: Pasukan Pertahanan Israel)
PETALING JAYA:
Seorang remaja Palestin yang menikam sehingga mati seorang tentara Israel di Tebing Barat hampir 3 tahun lalu dihukum penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tentara Yudea, lapor The Jerusalem Post.

Remaja terbabit yang namanya tidak didedahkan menyerang Tuvia Yanai Weissman dari Pasukan Pertahanan Israel, yang ketika itu berada di luar tugas, di sebuah pasar raya pada 18 Februari 2016.

Dia juga diperintahkan membayar ILS 1.25 juta kepada keluarga Weissman dan ILS 250,000 kepada seorang lagi individu yang cedera dalam serangan itu.

Remaja terbabit disabitkan dengan tuduhan membunuh dengan sengaja dan mahkamah tidak mengenakan hukuman mati kerana dia masih muda ketika melakukan jenayah tersebut.

Weissman, 21, sedang membeli-belah dengan keluarganya apabila 2 remaja Palestin berusia 14 tahun dari perkampungan Beitunya di Tebing barat memasuki pasar raya tersebut dan menikamnya serta seorang lagi warga Israel berusia 36 tahun.

Bapa mangsa, Avraham Weissman, berkata keluarganya “kecewa” dengan keputusan mahkamah dan mengatakan remaja itu berhak menjalani hukuman mati bagi kesalahannya.

“Pengganas ini bukan sahaja menikam mangsa, dia juga memulakan serangan yang sangat serius.

“Saya fikir dia tidak berhak dikurangkan hukuman berbanding apa yang dilalui anak saya. Suatu hukuman yang lebih ketat akan menyumbang kepada pencegahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.