
Persatuan Sahabat Wanita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangan hak pekerja wanita berkata, langkah itu selari dengan Konvensyen No 189 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Pekerjaan Wajar bagi Pekerja Domestik, yang menurutnya perlu diratifikasi oleh kerajaan.
Pengasas persatuan tersebut, Irene Xavier memberitahu FMT bahawa prinsip konvensyen itu menetapkan pekerja domestik sebagai pekerja, bukan pembantu rumah.
Dari satu sudut katanya, majikan melihat pekerja domestik sebagai sebahagian daripada isi rumah, sementara dari sudut lain, mereka dilihat sebagai hamba yang perlu mematuhi suruhan dan pergerakannya dihadkan.
“Sekarang kita ada Akta Pekerjaan 1955 yang menetapkan bahawa pekerja domestik adalah pekerja, tetapi mereka dikecualikan daripada kebanyakan bahagian lain akta tersebut.
“Satu-satunya peruntukan yang terpakai ialah pekerja domestik hendaklah diberikan surat tawaran bekerja dan notis 2 minggu penamatan pekerjaan,” katanya di pinggir majlis pelancaran sambutan Hari Migran Antarabangsa anjuran Tenaganita semalam.
Persatuan Sahabat Wanita berusaha mendapatkan hak sama untuk pekerja domestik seperti pekerja lain, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso), cuti rehat, cuti sakit dan cuti tahunan.
“Masa bekerja harian juga perlu dikawal, selain tahap penginapan standard kerana mereka merupakan pekerja menginap sama seperti pekerja ladang,” kata Irene.
Beliau berkata, Filipina dan Indonesia mempunyai undang-undang yang melambangkan semangat konvensyen ILO dan Malaysia perlu mengambil langkah serupa sekiranya ia mahu menjadi sebuah negara maju.
“Kerajaan perlu memikirkan semula dasar mengenai pekerja migran. Ia harus memastikan mereka yang datang ke negara ini untuk bekerja dilayan dengan hormat dan bermaruah.”
Katanya, bagi mencapai tujuan itu, persatuan bersedia membantu kerajaan dan pemegang taruh lain menggubal undang-undang yang perlu.
“Malah kami telah pun mengubal deraf undang-undang itu bagi mempercepatkan proses tersebut, dan meminta kerajaan mengkajinya.
Tahun lepas, data daripada Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia menunjukkan terdapat lebih 250,000 pekerja domestik berdaftar di negara ini.