
Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi meneliti terlebih dahulu setiap permohonan diterima untuk memastikan pemohon tidak terpalit dengan sebarang amalan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah.
“PPBM akan mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk melaksanakan proses tapisan ini. Selain itu, penilaian dari sudut politik juga akan dilakukan secara dalaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Presiden PPBM itu bagaimanapun berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut setelah mendapat laporan daripada jawatankuasa ini.
Mengenai permohonan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik untuk menyertai PPBM, beliau berkata ia tertakluk kepada proses tapisan yang akan dibuat jawatankuasa ini.
“Adalah tidak adil di peringkat ini untuk mengandaikan bekas pemimpin Umno yang menyerahkan borang permohonan keahlian diterima menjadi ahli secara automatik.
“Permohonan mereka hendaklah dinilai sebelum Majlis Pimpinan Tertinggi membuat keputusan mengenainya,” katanya.
Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong membantah penyertaan Rahim dan pengikutnya ke dalam mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Khoo menegaskan penerimaan veteran Umno itu boleh merosakkan integriti kerajaan negeri serta melemahkan keyakinan rakyat terhadap PH.
Khoo juga meminta PPBM menolak permohonan keahlian daripada bekas ketua menteri itu atas alasan beliau terpalit dengan pelbagai skandal.
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan, permohonan Rahim belum tentu diterima partinya.
Semalam, Rahim menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi PPBM Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama 100 borang permohonan lain.
Rahim adalah ketua menteri Melaka dari 1982 hingga 1994. Jika permohonannya diterima, Rahim akan berada dalam satu gabungan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Lim dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selepas mengkritik kerajaan berhubung kes rogol statutori terhadap Rahim pada 1994.
Kerajaan dikritik selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan kerana tiada bukti. Lim dibebaskan selepas dipenjarakan 12 bulan, pada 1999.