BN Pahang yakin ahli Parlimen, Adun negeri setia pada parti

BN Pahang yakin ahli Parlimen, Adun negeri setia pada parti

Ia susulan pendedahan Zahid Hamidi bahawa terdapat gerakan membeli ahli Parlimen dan Adun Pahang untuk berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan negeri.

Wan Rosdy Wan Ismail yakin ahli Parlimen dan Adun Umno serta BN masih memberikan sokongan penuh kepada parti itu. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Barisan Nasional (BN) Pahang memandang serius pendedahan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat gerakan membeli ahli Parlimen dan Adun negeri ini untuk berpaling tadah bagi menjatuhkan kerajaan negeri.

Pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau bagaimanapun yakin ahli Parlimen dan Adun Umno serta BN masih memberikan sokongan penuh kepada parti itu.

“Saya yakin mereka masih beri sokongan kuat kepada BN …tetapi kita akan beri perhatian… bagaimanapun seperti mana saya katakan tadi mereka masih lagi setia kepada BN,” katanya ringkas ketika diminta mengulas tentang pendedahan oleh Zahid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Kerajaan Pahang, hari ini.

Zahid semasa berucap dalam program retreat Umno Bahagian Temerloh di Frasser Hills semalam mendedahkan terdapat gerakan membeli ahli Parlimen dan Adun Pahang untuk berpaling tadah.

Beliau dalam pertemuan itu meminta BN negeri berhati-hati dan melakukan sesuatu supaya perkara itu tidak berlaku.

Ini kerana Zahid mendakwa beberapa pertemuan dilakukan dan beliau mempunyai saksi dalam perkara itu.

Terdapat desas-desus mengatakan ada nama-nama besar pemimpin peringkat negeri sedang mempertimbang untuk berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.