Zuraida ajak rakyat doakan Adib selepas IJN lapor tahap kesihatan merosot

Zuraida ajak rakyat doakan Adib selepas IJN lapor tahap kesihatan merosot

Menteri berkata seorang anggota bomba mempunyai fizikal yang kuat dan berharap Adib kembali pulih seperti sedia kala.

Zuraida Kamarudin bersama pemberita di IJN selepas melawat Adib hari ini.
KUALA LUMPUR:
Menteri Zuraida Kamarudin mengajak rakyat mendoakan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah dalam rusuhan kuil Seafield bulan lepas, pulih seperti sediakala, selepas Institut Jantung Negara (IJN) berkata tahap kesihatannya semakin merosot dalam tempoh 24 jam lalu.

“Sebagai anggota bomba fizikalnya kuat, insyaAllah dia akan kembali pulih seperti sedia kala,” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan kepada pemberita selepas melawat Adib hari ini.

IJN dalam kenyataan hari ini melaporkan paru-paru Adib didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

“Oleh itu (pihak IJN) memutuskan untuk sekali lagi memasukkan sistem Veno-Benous ECMO pada 9.00 malam semalam (Sabtu) untuk membantu pernafasan beliau,” kata IJN.

Adib dilapor dibelasah perusuh ketika cuba memadamkan kebakaran berdekatan Kul Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Selamatkan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, S Ramaji menyeru semua penganut Hindu supaya mendoakan Adib cepat pulih.

“Ada doa khas yang disertakan dalam doa-doa harian di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25. Kami menyeru semua kuil Hindu untuk melakukan perkara yang sama untuk beberapa hari akan datang sehingga dia pulih sepenuhnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.