PPBM boleh satukan rakyat Sabah, kata naib presiden

PPBM boleh satukan rakyat Sabah, kata naib presiden

Kenyataan Abdul Rashid Ab Rahman memarakkan spekulasi PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Lajim Ukin (duduk, 3 dari kanan) disertai Naib Presiden PPBM Abdul Rashid Ab Rahman (duduk, 3 dari kiri) pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Naib Presiden PPBM Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini memarakkan spekulasi PPBM akan melebarkan sayap ke Sabah selepas mengatakan parti itu boleh memainkan peranan menyatukan rakyat negeri itu.

Beliau pada sidang media berkata adalah penting rakyat Sabah bersatu melalui parti yang disokong.

Beliau menambah adalah sia-sia jika terlalu ramai parti dan rakyat berpecah belah.

“Jika kemasukan PPBM ke Sabah disokong, parti boleh berikan kepimpinan untuk menyatukan rakyat Sabah. Kami mahu majukan Sabah…saya sokong seruan ‘Sabah untuk rakyat Sabah’ walaupun ia slogan pilihan raya.

“Jika rakyat Sabah bersatu, mudah untuk tuntutan Sabah diberi perhatian. Pakatan Harapan, selalu kerajaan persekutuan, akan pertimbangkan Sabah dengan serius. Tidak lagi akan jadi seperti sebelum ini, tetapi lebih adil kepada Sabah,” katanya.

Rashid berada di ibu negeri atas undangan peribadi Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Datuk Lajim Ukin, bekas menteri persekutuan dari Umno, bersempena mesyuarat agung tahunan PHRS hari ini.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan pemimpin kanan Umno Sabah, termasuk Ahli Parlimen, Adun dan senator, yang baru-baru ini keluar parti akan menyertai PPBM, membuka jalan kepada parti itu membuka cawangan di Sabah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr semalam mengingatkan PPBM akan janjinya untuk menjauhi Sabah demi hubungan baik dan persefahaman antara kedua-dua parti.

Rashid berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedia mendengar keperluan rakyat Sabah.

“Dia bukan Dr Mahathir yang dulu…ini Dr Mahathir baharu. Dia sudah berubah dan benar-benar menjadi harapan untuk rakyat, tanpa membezakan timur dan barat,” katanya.

Sementara itu, Lajim menyambut baik kemasukan PPBM ke Sabah, mengatakan ia akan memberi lebih banyak manfaat kerana PPBM boleh menyalurkan bantuan secara terus ke Sabah dan kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak dana untuk pembangunan.

“Tiada siapa pun ada hak halang kerana ini demokrasi. Tidak pula dinyatakan dalam perlembagaan negeri atau persekutuan.

“Mengapa parti lain seperti DAP, Amanah, PKR dan PAS boleh berada di Sabah? Mengapa tidak PPBM? Kita tahu PPBM akan menjadi parti mutlak di Malaysia yang akan menggantikan Umno,” katanya.

Berkenaan seruan Warisan kepada PPBM, Lajim berkata mana-mana orang boleh berkongsi pandangan tetapi tidak boleh halang PPBM menubuhkan cawangan di Sabah.

Tentang permohonan PHRS menyertai PH, Lajim berharap dia akan mendapat berita yang akan “menggembirakan rakyat Sabah”.

PHRS yang pernah menganggotai pakatan pembangkang Gabungan Bersatu Sabah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.