Penganalisis: PPBM pilihan ‘serasi’ bagi bekas pemimpin Umno Sabah

Penganalisis: PPBM pilihan ‘serasi’ bagi bekas pemimpin Umno Sabah

Wujud kebimbangan dalam kalangan pemimpin Warisan bahawa PPBM akan ditubuhkan di Sabah melalui 30 pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu.

Bekas wakil rakyat Umno di Sabah lebih berkemungkinan menyertai PPBM, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Umno di Sabah yang keluar parti baru-baru ini lebih berkemungkinan menyertai PPBM daripada Warisan, kata seorang bekas pemimpin tertinggi Umno di negeri itu.

Beliau yang enggan dikenali berkata, “adalah kurang menyakitkan dari segi emosi” untuk menyertai PPBM kerana ia merupakan sebuah parti Bumiputera yang lebih dekat dengan bekas pemimpin Umno terbabit.

Wujud kebimbangan dalam kalangan pemimpin Warisan bahawa PPBM akan ditubuhkan di Sabah melalui 30 pemimpin Umno yang meninggalkan parti itu Rabu lepas.

Langkah itu menimbulkan spekulasi bahawa PPBM akan memasuki Sabah selepas parti itu ditubuhkan di Sarawak sebelum ini.

Warisan kini membentuk kerajaan campuran di Sabah bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan, iaitu PKR dan DAP.

Bekas pemimpin Umno itu berkata, desas-desus bahawa Warisan terlibat memberikan kerakyatan kepada pendatang Filipina bagi mempengaruhi keseimbangan kuasa politik supaya memihak kepada komuniti Bajau Suluk menyebabkan pemimpin parti itu “tidak selesa” dengan Warisan.

“Rakyat Sabah tidak bersikap perkauman, tetapi mereka tidak melupakan pengabaian komuniti Kadazan Dusun Murut yang berlaku semasa pemerintahan Tun Datu Mustapha Harun, yang berketurunan Suluk,” katanya.

“Ini membimbangkan ramai pemimpin Umno yang keluar parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, penubuhan PPBM di Sabah hanya menunggu masa.

Beliau berkata, PPBM adalah pilihan serasi bagi bekas pemimpin Umno kerana parti itu mempunyai kedudukan yang kuat di peringkat pusat.

“Dalam politik Sabah, faktor pusat sangat penting dalam dinamika politiknya.”

Katanya, kehadiran PPBM di Sabah bermakna kembalinya “kitaran ganas lama” yang menyaksikan parti nasional memainkan peranan dominan dalam politik negeri.

Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, bekas pemimpin Umno terbabit akan memilih PPBM.

Beliau berkata, parti itu menyerupai Umno, dengan Melayu dan Islam menjadi teras ideologinya.

“Di Sabah, agenda Bumiputera Islam tampak lebih menonjol dengan PPBM kerana mereka tentu mahu kelompok Bumiputera Islam berkuasa, sementara melalui Warisan, kaum lain akan lebih menonjol selepas era presidennya kini Datuk Seri Shafie Apdal berakhir,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran PPBM di Sabah merupakan “ancaman besar” terhadap Warisan kerana ia akan menarik kelompok Bumiputera ke dalam parti itu.

“Warisan akan rugi besar sekiranya PPBM masuk ke Sabah kerana ia akan memberi kesan ke atas dominasinya dalam kerajaan negeri”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.