14 bank tawar perkhidmatan pindah wang guna telefon bimbit

14 bank tawar perkhidmatan pindah wang guna telefon bimbit

Perkhimatan pembayaran elektronik baharu tersedia mulai 17 Disember di 14 bank termasuk Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR:
DuitNow, perkhidmatan pembayaran elektronik baharu daripada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima, kini tersedia kepada orang ramai menerusi 14 bank tempatan dan juga asing.

PayNet dalam kenyataan hari ini berkata perkhidmatan itu yang tersedia mulai 17 Disember dilancarkan melalui saluran perbankan Internet dan/atau mudah alih bank-bank berikut iaitu Ambank (M) Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank of China (Malaysia) Bhd, BNP Paribas Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, Citi Bank Bhd, Heong Leong Bank Bhd and HSBC Bank Malaysia Bhd.

Bank-bank yang lain ialah Malayan Banking Bhd, OCBC Bank (Malaysia) Bhd, Public Bank Bhd, RHB Bank Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

Syarikat itu berkata, susulan daripada pelancaran ini, rangkaian institusi yang menawarkan perkhidmatan DuitNow akan diperluaskan dengan penambahan 17 bank dan syarikat e-dompet tidak lama lagi.

“Pelanggan yang ingin menerima pemindahan dana melalui DuitNow dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka perlu melakukan pendaftaran satu kali sahaja untuk memautkan nombor telefon bimbit ke nombor akaun bank mereka,” kata syarikat itu.

Pelanggan juga boleh memautkan nombor MyKad atau MyPR, nombor tentera atau polis, nombor pasport atau nombor pendaftaran perniagaan ke akaun bank mereka untuk menerima wang.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan daripada jutaan rakyat Malaysia yang telah mendaftar untuk DuitNow yang membolehkan mereka menerima dana dengan menggunakan nombor telefon bimbit dan nombor MyKad mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.

Bank Negara merupakan pemegang saham tunggal terbesar PayNet.

“DuitNow merupakan fasa pertama dalam langkah beberapa tahun oleh industri perbankan untuk memodenkan infrastruktur pembayaran runcit di Malaysia. Usaha ini bertujuan memperkenalkan satu platform yang kos efektif, tangkas dan fleksibel bagi menyokong produk e-pembayaran yang inovatif dan baru bagi menyampaikan cadangan nilai pelanggan yang unggul,” kata Schiesser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.