Sebar senarai penceramah disekat spekulasi murahan, kata Zamihan

Sebar senarai penceramah disekat spekulasi murahan, kata Zamihan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan senarai berkenaan dikeluarkan oleh pejabat beliau.

Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain berkata, penyebaran senarai itu bertujuan memburukkan imej pihak berkuasa dan penceramah terbabit. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang penceramah kontroversi menyifatkan penularan satu senarai individu, termasuk dirinya, yang disekat daripada bersiaran di stesen TV dan radio di media sosial baru-baru ini sebagai spekulasi murahan dan mengarut.

Zamihan Mat Zain berkata, penyebaran senarai itu sengaja dilakukan kumpulan tertentu bagi memburukkan imej pihak berkuasa dan mencemarkan reputasi penceramah terlibat.

“Surat (senarai nama) itu tiada locus standi sama sekali. Ia mungkin sengaja dibuat oleh seseorang bagi memburukkan imej pihak berkuasa dan mencemarkan reputasi penama terbabit.

“Surat tanpa ‘letterhead’ dan ‘signature’ siapa pun boleh buat.

“Bagi saya senarai murahan ni adalah mengarut dan tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Selain Zamihan, 9 lain yang termasuk dalam senarai tersebut ialah Datuk Kazim Elias, Samsul Amri Ismail, “Redzuan Tee”, Abdullah Khairi, Norhafizah Muda, Azhar Idrus, Admad Dusuki, serta peserta program realiti agama, Syed Mohd Bakri Syed Ishak dan “Amin”.

Syed Bakri ketika dihubungi FMT mendakwa senarai itu diterimanya daripada seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan senarai berkenaan dikeluarkan oleh pejabat beliau.

Mujahid berkata, pejabatnya tidak mengamalkan sekatan terhadap penceramah tertentu hanya kerana tidak sebulu, sebaliknya lebih melihat kepada kandungan ceramah atau kuliah yang disampaikan.

Zamihan berkata, sehingga kini beliau masih lagi bebas berceramah.

“Manakala sebahagian dari senarai penama diatas mempunyai tauliah mengajar agama di beberapa buah negeri.

“Saya sendiri masih mempunyai tauliah dan kebenaran berceramah di Perak, Kelantan, Wilayah Persekutian, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan di Jakim. Pihak berkuasa agama negeri masih belum menarik balik tauliah saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.