
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata ia antara 3 syarat ditetapkan Majlis Presiden PH yang perlu dipersetujui oleh Ahli Parlimen yang melompat parti.
Sebagai tambahan kepada pengiktirafan dan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, beliau berkata Ahli Parlimen berkenaan harus menegaskan semula komitmen tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri yang berikutnya.
Katanya, mereka juga perlu komited terhadap perjuangan PH untuk membawa perubahan positif kepada negara menerusi sokongan menyeluruh di Dewan Rakyat, memandangkan perubahan besar oleh PH, yang dilihat positif kepada rakyat dan mungkin memerlukan majoriti 2/3, juga perlu disokong oleh Ahli Parlimen berkenaan.
“Paling penting, mereka kini perlu mengambil peluang ini untuk menyatakan, mendedahkan atau memberi maklumat sebarang dakwaan rasuah yang lain membabitkan pemimpin Umno semasa, seperti Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tanpa rasa gentar, bukan sahaja kepada kepimpinan PH tetapi juga kepada rakyat,” katanya.
Rabu lepas, Umno Sabah lumpuh berikutan pemimpin utamanya keluar beramai-ramai daripada Umno, menyaksikan peletakan jawatan 9 daripada 10 Adun, 5 daripada 6 Ahli Parlimen dan 22 daripada 25 ketua bahagian.
Semalam, 6 Ahli Parlimen Umno mengumumkan keluar parti.