Menteri perlu cabar idea kereta nasional ke-3, kata wakil Pemuda Amanah

Menteri perlu cabar idea kereta nasional ke-3, kata wakil Pemuda Amanah

Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata Pakatan Harapan tidak mampu mempertahankan idea itu.

Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan.
IPOH:
Pemuda Amanah hari ini menyeru menteri-menteri parti itu mencabar idea projek kereta nasional ke-3 cetusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wakilnya, Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan berkata, Pakatan Harapan tidak mampu pertahankan idea projek itu.

Beliau berkata wacana di media sosial menunjukkan sebahagian besar orang menolak pengumuman kerajaan itu. “Idea ini hampir sahaja tidak mampu dipertahankan.”

“Tetapi saya lihat, selain pimpinan Pakatan Harapan yang tidak ada jawatan dalam kerajaan, tidak ada satu pun pimpinan kita yang bersuara, menentang dan tidak memberikan pandangan yang boleh menjawab atau memberi pandangan yang berbeza dengan perdana menteri,” katanya ketika membentangkan usul ekonomi di Konvensyen Nasional Amanah hari ini.

Idea mewujudkan kereta nasional baharu, menggantikan Proton yang tidak lagi dianggap sebagai jenama nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat China, Zheijang Geely Holding Group Co Ltd disuarakan perdana menteri pada Jun.

Kerajaan berkata projek tersebut memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar dan oleh itu memerlukan pelaburan swasta.

Nik Razak berharap para menteri Amanah mencabar idea perdana menteri itu di mesyuarat jemaah menteri. Parti Islam itu mempunyai 5 menteri iaitu Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Abdul Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad, dan 5 timbalan menteri iaitu Mohamed Hanipa Maidin, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Mahfuz Omar, Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Mohd Anuar Mohd Tahir.

“Jangan kita main selamat tak mahu hilang jawatan menteri dalam kabinet walaupun kita tahu idea itu tidak mampu dipertahankan. Tolonglah,” katanya.

“Ia adalah obsesi seorang Dr Mahathir tapi kita berdiam diri kerana kita mahu kekal menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.