
Peraturan baharu Majlis Agama Islam Pusat Thailand (CICOT) itu akan diumumkan di masjid seluruh negara mulai hari ini, menurut Pengarah Pusat Penyelarasan bagi Pejabat Sheikhul Islam dan anggota kanan CICOT, Wisut Binlateh, memetik laporan The Nation.
Wisut menambah, Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon yang juga pengerusi CICOT, meluluskan peraturan baharu itu yang dibuat November lalu.
Manakala, pakar undang-undang di Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Panadda Isho dipetik sebagai berkata pihaknya akan menterjemah peraturan baru itu ke dalam bahasa Melayu dan menerbitkannya melalui seminar.
Peraturan baru itu akan memastikan masjid tempatan tidak memberi kebenaran perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan berumur di bawah 17 tahun kecuali mahkamah syariah memberi kebenaran atau ibu bapa mereka menandatangani dokumen yang membenarkan perkahwinan itu yang akan diadakan di pejabat jawatankuasa Islam wilayah atau di balai polis tempatan.
Jun lalu, Malaysia digemparkan dengan perkahwinan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki yang hampir 3 dekad lebih tua daripadanya.
Lelaki terbabit, Abdul Karim Che Abdul Hamid berkahwin dengan kanak-kanak itu sebagai isteri ketiganya di Sungai Golok, selatan Thailand pada 18 Jun.
Peraih getah itu berkata dia mendapat restu dari ibu bapa kanak-kanak tersebut dan akan memohon sijil perkahwinan apabila “isterinya” mencapai umur 16 tahun, usia perkahwinan yang dibenarkan undang-undang syariah Malaysia.
Keluarga kanak-kanak itu tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah menoreh getah.