
Ketua Setiausaha Hasnol Zam Zam berkata kementerian membuat bayaran perkhidmatan kawalan keselamatan kepada syarikat itu bagi tempoh mulai 1 Jun 2017 hingga 30 November 2018 dan tiada bayaran tertunggak bagi tempoh tersebut.
“Kementerian juga tidak mendapat sebarang aduan tentang pengawal keselamatan di Hospital Putrajaya tidak dibayar gaji selama 3 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, FMT melaporkan Parti Sosialis Malaysia menggesa kerajaan campurtangan isu bayaran gaji pengawal keselamatan di Hospital Putrajaya yang didakwa tidak diterima sejak September.
Hasnol hari ini mendedahkan perkhidmatan syarikat keselamatan tersebut ditamatkan berkuatkuasa 16 Disember kerana pelanggaran syarat perjanjian.
Perkhidmatan syarikat itu ditamatkan melalui notis bertarikh 12 Disember, katanya.
Sebelum ini, kementerian dan syarikat berkenaan menandatangani perjanjian perkhidmatan kawalan keselamatan tanpa senjata, bersenjata dan “cash in transit” bagi Hospital Putrajaya bagi tempoh 2 tahun mulai 1 Jun 2017 sehingga 1 Jun tahun depan.
Perjanjian itu menetapkan syarikat bertanggungjawab membayar gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran kerja lebih masa dan lain-lain mengikut undang-undang termasuk Akta Kerja 1955.