Limo lapangan terbang P Pinang mahu pemandu e-hailing dilarang ambil penumpang

Limo lapangan terbang P Pinang mahu pemandu e-hailing dilarang ambil penumpang

Seramai 20 pemandu menunjuk perasaan mendesak kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang 'patuhi undang-undang'.

Pemandu limosin menunjuk perasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
GEORGE TOWN:
Sekumpulan pemandu limosin hari ini menunjuk perasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, mendakwa pemandu e-hailing menjejas periuk nasi mereka dan pihak berkuasa membenarkan mereka melakukannya.

Seramai 20 pemandu memegang plakad menggesa kerajaan dan pihak berkuasa lapangan terbang “patuhi undang-undang” dan tidak membenarkan pemandu e-hailing mengambil penumpang di lapangan terbang berkenaan.

Wakil mereka, Gopal Nair berkata, mereka tidak kisah pemandu e-hailing menghantar penumpang, tetapi tidak bersetuju mereka mengambil penumpang di situ.

Katanya, kira-kira 300 pemandu limosin bergantung kepada pendapatan dengan mengambil penumpang di lapangan terbang tersebut.

Sebelum ini, mereka masing-masing boleh mendapat sekurang-kurangnya 8 perjalanan dalam tempoh 12 jam, tetapi sekarang hanya 2 perjalanan.

“Kami mula jam 5.30 pagi tapi pemgambilan pertama penumpang pada 1.00 petang. Ada 15 pemandu Grab bagi setiap limosin. Macam mana kami nak hidup?” tanya Nair.

Bekas anggota keselamatan berusia 72 tahun itu berkata, kekurangan perjalanan menjejas teruk kehidupan pemandu limosin, dan kereta milik ramai daripada mereka sudah ditarik balik kerana tidak mampu membayar pinjaman.

Dia mendakwa, pada suatu ketika dalam 40 tahun kerjayanya sebagai pemandu koperasi limosin Lapangan Terbang Pulau Pinang, dia mendapat RM6,000 ke RM7,000 sebulan. Hari ini, RM2,000 sebulan pun payah.

“Dulu, saya ada cukup duit untuk hantar anak-anak saya mengambil PhD. Tidak apa dengan saya kerana saya akan berehat tidak lama lagi, tapi bagaimana dengan kawan-kawan yang ada anak-anak kecil?. Macam mana mereka hendak hantar anak-anak ke kolej dan mencari rezeki? tanya Nair lagi.

Mengenai dakwaan tambang limosin mahal, dia berkata, kadar tambang ditentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Mereka juga, katanya, membayar insurans penumpang dan menghantar kenderaan untuk pemeriksaan setiap 6 bulan.

“Syarikat e-hailing tidak lakukan semua itu. Malah, pemandu mereka tidak memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam,” katanya.

“Ada orang bagi tahu,’ apa peduli dengan insurans penumpang?’. Saya bagi tahu mereka, kita tak tahu bila akan berlaku kemalangan,” katanya.

Nair mendakwa, lapangan terbang besar di seluruh dunia, termasuk Heathrow di London dan Medan di Indonesia, pemandu e-hailing dilarang mengambil penumpang.

“Teksi biasa di Pulau Pinang tidak dibenarkan ambil penumpang di lapangan terbang. Kenapa tidak boleh halang pemandu e-hailing berbuat demikian?” dia bertanya.

“Hari ini terdapat ‘ulat’ di terminal lapangan terbang dan pemandu teksi menanti di luar tanpa tindakan diambil terhadap mereka.

“Menteri pengangkutan kata kena ikut undang-undang. Jadi, kami nak tanya, mana penguatkuasaan?” Nair bertanya.

Katanya, hanya penguatkuasaan lebih berkesan dapat menyelesaikan masalah itu, tetapi apabila pemandu limosin mengadu, pihak penguatkuasa naik angin dan terus mencari kesalahan mereka.

Terdapat lebih 2,000 teksi, termasuk 300 limosin di Pulau Pinang. Pada 2016, terdapat lebih 2,000 pemandu Uber, kebanyakan mereka diserap ke Grab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.