Bekas Umno boleh sertai PH, mesti tebus kesalahan, kata Kit Siang

Bekas Umno boleh sertai PH, mesti tebus kesalahan, kata Kit Siang

Tokoh DAP itu bagaimanapun berkata mereka yang terlibat dalam rasuah dan jenayah mesti menanggung akibatnya walaupun sudah bertukar parti.

KUALA LUMPUR:
Tokoh DAP Lim Kit Siang tidak membantah bekas pemimpin Umno yang mahu menyertai Pakatan Harapan.

Beliau bagaimanapun berkata mereka mestilah menebus kesalahan dengan mengakui kesilapan menyokong bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan sekitar skandal 1MDB.

Lim berkata ia bagi mengelakkan integriti Pakatan Harapan dipersoalkan, dan bekas-bekas pemimpin itu akan dilihat hanya pandai mengambil kesempatan jika enggan menebus kesalahan mereka.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan mereka yang terlibat dalam rasuah dan jenayah “mesti menanggung akibatnya” walaupun sudah bertukar parti.

“Kita bukan wali, kita semua ada melakukan kesilapan. Kalau kamu pernah buat silap, seperti tidak bertindak atau bersubahat dengan Najib dan skandal 1MDB terutamanya, kamu mesti mengakuinya secara terbuka.

“Tetapi bagi mereka yang melakukan lebih daripada itu, seperti melakukan rasuah dan jenayah, mereka mesti tanggung akibatnya,” katanya.

Lim berkata demikian selepas melancarkan buku “100 Hari, 100 Gambar” mengenang 100 hari pertama Malaysia Baharu di satu restoran di ibu negara hari ini.

Ditanya sama ada beliau sedia menerima bekas seteru, seperti bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Lim berkata itu antara perkara “yang perlu difikirkan semua orang”.

Umno hari ini mengesahkan 6 wakil rakyatnya meninggalkan parti itu yang menuju krisis selepas 7 bulan hilang kuasa.

Umno kini tinggal 37 Ahli Parlimen daripada 54 orang selepas pilihan raya 9 Mei lepas.

Antara yang meninggalkan parti itu adalah bekas menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Salleh Said Keruak, bekas ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pandikar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.