Aziz letak jawatan pengerusi eksekutif Utusan selepas 6 bulan

Aziz letak jawatan pengerusi eksekutif Utusan selepas 6 bulan

Utusan dalam makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan bekas ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu meletak jawatan kerana mempunyai komitmen perniagaan peribadi lain.

Abd Aziz Sheikh Fadzir dilantik sebagai pengerusi eksekutif Utusan Melayu pada 7 Jun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad berkuat kuasa hari ini, 6 bulan selepas dilantik ke jawatan itu.

Utusan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menyatakan keputusan itu susulan komitmen perniagaan peribadi Aziz yang lain.

Beliau dilantik ke jawatan itu pada 7 Jun lalu, susulan peletakan jawatan 5 pengarah syarikat itu, sejajar pelan penstrukturan kumpulan itu selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sementara itu, Utusan mengumumkan pelantikan Datuk Ibrahim Yahaya sebagai pengarah eksekutif dan ketua pengarang kumpulan bagi menggantikan Datuk Abdul Aziz Ishak yang meletak jawatan 26 Julai lalu.

Ibrahim yang merupakan pengarah bukan eksekutif bebas sebelum ini, pernah menjadi setiausaha akhbar kepada timbalan perdana menteri dari Ogos 2015 hingga Mei 2018.

Bekas ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim pula dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bebas.

Dua minggu lalu, syarikat milik Umno itu menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada 800 daripada kira-kira 1,500 kakitangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.